X

Kindly register in order to view this article
!

Buka hospital sementara jika kes cecah 1,000 sehari

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah (tengah) ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) akan membuka hospital sementara sekiranya kes positif wabak koronavirus (Covid-19) mencecah sehingga 1,000 kes sehari.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ketika ini persediaan telahpun dibuat di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) di seluruh negara dan Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Menurutnya, hospital sementara itu akan menempatkan kes positif wabak kategori ringan yang tidak memerlukan bantuan pernafasan.

"Pada mulanya kami rancang 3,400 katil. Kita sudah guna ILKKM dan ada tambahan 19,200 katil jika kita guna semua institut tersebut.

"Kes positif yang tiada gejala atau pesakit dengan gejala ringan, akan dipindah ke pusat latihan kita. Hospital akan digunakan untuk kes kritikal dan sederhana.

"Jika kes terus meningkat, kita mungkin guna ILKKM dan (hospital) sementara di MAEPS yang ada 600 katil," katanya pada sidang akhbar KKM di sini semalam.

Noor Hisham berkata, MAEPS dipilih sebagai lokasi hospital sementara adalah bagi mengatasi kepadatan penduduk di Kuala Lumpur.

"Jadi, kepadatan meningkat dan kalau jangkitan meningkat kita akan gunakan hospital sementara itu," katanya.

Dua dewan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang akan dijadikan pusat kuarantin dan rawatan untuk merawat pesakit positif koronavirus (Covid-19) yang tidak bergejala serta bergejala ringan.

Pusat itu yang dijangka siap petang Ahad adalah sebagai langkah persediaan sekiranya berlaku peningkatan secara drastik pesakit Covid-19 yang dijangka pada pertengahan April.

Sejumlah 600 katil akan ditempatkan yang meliputi 400 unit di Dewan A manakala 200 lagi di Dewan B.

Setakat ini, Kementerian Kesihatan (KKM) memperuntukkan sejumlah 3,400 katil di semua hospital yang merawat Covid-19 di seluruh negara dan tambahan 1,892 katil di Institut Latihan KKM, menjadikan jumlah keseluruhan katil ialah 5,292.

Usaha tersebut dilakukan kerana KKM menjangkakan peningkatan mendadak kes positif pandemik Covid-19 pada pertengahan April ini.

MAEPS sebelum ini menjadi pusat kegiatan dan aktiviti berasaskan pertanian dan sering dipilih sebagai tempat pameran utama bagi acara dan aktiviti tempatan serta antarabangsa.

Kawasan itu sinonim menjadi tuan rumah bagi kejayaan program skala raksasa seperti Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) yang diadakan setiap dua tahun.

Taman seluas 130 hektar itu terletak di atas tanah milik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus