Kos rawatan kecederaan paru-paru akibat vape cecah RM150,000

Dr Zaliha - Foto Bernama
Dr Zaliha - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 18 kes penyakit kecederaan paru-paru atau ‘E-cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury’ (EVALI) dan 20 kes lain berkaitan penggunaan rokok elektronik atau vape dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) sejak tahun 2022.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, KKM menganggarkan kos rawatan penyakit berkenaan mencecah RM150,000 bagi tempoh 12 hari kemasukan ke wad.

Susulan itu, Dr Zaliha berkata, kementerian bercadang untuk meneruskan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam.

"Kawalan menyeluruh terhadap produk rokok elektronik atau vape akan dapat dilaksana termasuk larangan terhadap produk dan pembungkusan yang menyerupai permainan kanak-kanak.

"Kawalan terhadap perisa yang boleh menarik perhatian kanak-kanak dan remaja menggunakan produk ini juga boleh dilaksana melalui rang undang-undang ini," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) yang meminta kerajaan menyatakan bagaimana untuk memastikan keselamatan vape serta kesan baik dan buruk oleh peranti itu.

Dalam pada itu, ujar Dr Zaliha berkata, kawalan bagi peranti rokok elektronik adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup melalui Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Peranti Rokok Elektronik) 2022, bagi memastikan setiap peranti mematuhi Standard Malaysia MS 2716 untuk menjamin keselamatan peranti berkenaan.

Menurutnya, bagi keselamatan cecair rokok elektronik, tiada sebarang standard ditetapkan kementerian kerana tiada had yang selamat untuk bahan-bahan kimia yang terkandung di dalam cecair rokok elektronik atau vape berkenaan.

"Penggunaan rokok elektronik atau vape sungguh pun pada awalnya ia dicipta sebagai alternatif yang dikatakan lebih selamat daripada rokok tembakau, namun kajian saintifik terkini membuktikan rokok alaf baharu termasuk vape tetap berbahaya.

"Pelbagai kajian saintifik yang dilaksanakan menemui banyak kesan buruk akibat penggunaan rokok elektronik atau vape terhadap kesihatan," ujarnya.