KPKM perkemas pengurusan baja subsidi padi

Laporan muka hadapan Sinar Harian pada 1 Januari lalu.
Laporan muka hadapan Sinar Harian pada 1 Januari lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Keluhan pesawah yang mengadu kelewatan bekalan baja subsidi sehingga menyebabkan tumbesaran padi terbantut dan terpaksa menanggung kos tambahan sendiri mendapat perhatian Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

KPKM berkata, kerajaan sedia untuk menilai semula dan memperkemaskan keseluruhan rantaian pengurusan pengedaran baja bersubsidi bagi mengatasi masalah kelewatan yang didakwa menjadi punca kemerosotan hasil padi negara.

Katanya, tempoh pembekalan input pertanian yang terlalu singkat dikenal pasti menjadi punca utama kelewatan pembekalan yang berlaku sebelum ini.

KPKM berkata, keadaan itu menyebabkan pembekalan tidak dapat diteruskan setelah tamat tempoh kontrak dan hanya boleh disambung selepas pelantikan pembekal baharu mengikut tatacara perolehan kerajaan.

"Sebagai langkah penambahbaikan, KPKM telah melaksanakan pembaharuan dalam kaedah perolehan dengan memperbaharui kontrak pembekalan input pertanian untuk tempoh lebih panjang.

KPKM akan memastikan kesinambungan pembekalan bagi mengelakkan gangguan bekalan baja kepada pesawah. - Foto Bernama
KPKM akan memastikan kesinambungan pembekalan bagi mengelakkan gangguan bekalan baja kepada pesawah. - Foto Bernama

"Ia bagi memastikan kesinambungan pembekalan dan mengelakkan gangguan bekalan baja kepada pesawah," katanya kepada Sinar Ahad.

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan isu kelewatan pengedaran baja bersubsidi kepada pesawah di jelapang padi utama negara didakwa menyebabkan hasil padi merosot ketara dengan ada kawasan mencatatkan penurunan sehingga 50 peratus bagi satu hektar.

Artikel Berkaitan:

Perkara tersebut mencetuskan kesan ekonomi berantai termasuk peningkatan kos import beras, tukaran mata wang dan harga input dengan kerugian kepada negara dianggarkan mencecah jutaan ringgit.

Bagi pesawah di lapangan mendakwa, baja yang tiba lewat pada fasa kritikal pembajaan memaksa mereka untuk menanggung kos tambahan sendiri bagi mengelakkan tanaman terus terbantut.

Perkara tersebut mendapat respons daripada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang menjelaskan bahawa kontrak tamat menjadi punca tidak dapat melaksanakan proses pembekalan baja seperti biasa kepada pesawah.

Tambahnya, kontrak yang telah dianugerahkan kepada pertubuhan itu tamat pada 30 Jun 2025 dan setiap pembekalan diterima disimpan oleh pihak NAFAS untuk tujuan proses pembekalan selepas menerima lantikan kontrak daripada kerajaan.

Kata NAFAS lagi, pelaksanaan pengedaran baja tertakluk kepada proses pentadbiran termasuk penyediaan Surat Setuju Terima (SST) bagi kontrak pembekalan semasa yang melibatkan pelbagai proses tatakelola perlu dilalui sebelum keputusan pelantikan itu dibuat.

KPKM akan memastikan kesinambungan pembekalan bagi mengelakkan gangguan bekalan baja kepada pesawah. - Foto Bernama
KPKM akan memastikan kesinambungan pembekalan bagi mengelakkan gangguan bekalan baja kepada pesawah. - Foto Bernama

KPKM menambah, pihaknya telah mempertingkatkan pemantauan ke atas premis pembekal secara berkala dan memperketatkan klausa kontrak termasuk mengenakan denda ke atas kelewatan pembekalan.

"Bermula tahun 2025, KPKM telah melaksanakan kaedah perolehan pembekalan baja secara tender terbuka dengan berperingkat.

"Kaedah ini bertujuan meningkatkan tahap persaingan sihat dan kompetitif dalam kalangan pembekal selain memastikan pembekalan serta penghantaran input pertanian dilaksanakan dengan lebih cekap, telus berkesan," katanya.

Pada masa sama, pihaknya berpandangan bahawa dakwaan hasil padi merudum sehingga 50 peratus disebabkan kelewatan baja adalah tidak tepat.

Kata KPKM, kemerosotan hasil padi boleh dipengaruhi oleh faktor dalaman dan luaran.

"Faktor dalaman merangkumi aspek infrastruktur dan pengurusan kawasan penanaman padi seperti keberkesanan sistem pengairan dan saliran, bekalan air yang konsisten, tahap kesuburan tanah serta penggunaan input pertanian seperti baja, racun mengikut piawaian yang ditetapkan.

"Faktor luaran pula merujuk kepada perubahan cuaca yang ekstrem, bencana alam, serangan makhluk perosak dan penyakit tanaman yang boleh memberi kesan langsung terhadap pertumbuhan serta hasil padi," ujarnya.

Jelas KPKM, kerajaan mengambil maklum sebarang ketidakselarasan masa dalam pembekalan baja berpotensi memberi kesan terhadap prestasi hasil tanaman padi.

"Faktor tersebut bukanlah penentu utama pengeluaran hasil secara keseluruhan dan pendekatan yang diambil bersifat holistik dengan menumpukan kepada penambahbaikan berterusan rantaian pembekalan input pertanian.

"Di samping itu, KPKM akan memperkukuhkan amalan pengurusan penanaman padi serta langkah mitigasi terhadap risiko faktor luaran," katanya.

Ringkasan AI

  • Keluhan pesawah tentang kelewatan bekalan baja subsidi mendapat perhatian KPKM
  • KPKM menyatakan bersedia menilai semula dan memperkemaskan pengurusan pengedaran baja bersubsidi
  • Kekurangan pembekalan baja disebabkan tempoh pembekalan yang terlalu singkat
  • KPKM melaksanakan pembaharuan dalam kaedah perolehan untuk memastikan kesinambungan pembekalan
  • KPKM juga bertindak meningkatkan pemantauan terhadap pembekal dan memperketatkan klausa kontrak

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!