Pemuda UMNO sedia jadi jambatan penyatuan kerjasama UMNO-Pas

Muhamad Akmal ketika menyampaikan ucapan pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO yang berlangsung di Dewan Tun Dr Ismail, WTCKL pada Sabtu. Foto Rosli Talib
Muhamad Akmal ketika menyampaikan ucapan pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO yang berlangsung di Dewan Tun Dr Ismail, WTCKL pada Sabtu. Foto Rosli Talib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemuda UMNO menyatakan kesediaan untuk menjadi jambatan penyatuan dalam menghidupkam kembali hubungan kerjasama antara parti itu dengan Pas.

Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, ia susulan cadangan kerjasama melibatkan dua parti terbesar orang Melayu itu mendapat sokongan dan maklum balas positif daripada Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari serta Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden.

"Kita melihat apabila orang Melayu berpecah, ada pihak yang cuba mengambil kesempatan.

"Kesilapan lalu apabila UMNO dan Pas berpecah menyebabkan penyatuan Melayu tidak berlaku, sebab itu, saya menghulurkan tangan dan mensyorkan bahawa penyatuan Melayu mesti diterajui oleh dua parti teras orang Melayu, iaitu UMNO dan Pas.

"Saya dimaklumkan Ketua Pemuda Pas pun menyambut baik cadangan ini dan Ketua Penerangan Pas turut mengeluarkan kenyataan yang positif," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO yang berlangsung di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu.

Konvensyen bertemakan 'Hala tuju UMNO dalam Kerajaan Perpaduan' dihadiri sekitar 2,000 ahli, menyuarakan pandangan dan isi hati secara terbuka serta berani dengan menilai semula kedudukan parti dalam kerajaan kini.

Ujar Muhamad Akmal, setakat ini belum ada sebarang pertemuan rasmi diadakan antara Pemuda UMNO dan Pemuda Pas bagi membincangkan perkara tersebut, namun pihaknya bersedia mengadakan perbincangan pada bila-bila masa.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa sebarang keputusan berkaitan kerjasama politik perlu diputuskan mengikut saluran parti dan berlandaskan suara akar umbi.

Artikel Berkaitan:

"Konvensyen ini tidak membuat keputusan, sebaliknya mengumpulkan dapatan daripada akar umbi.

"Setakat ini, alhamdulillah majoriti ke arah pendirian tersebut dan akan dibawa untuk dipertimbangkan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU)," ujarnya.

Ringkasan AI

  • Pemuda UMNO bersedia jadi jambatan penyatuan dengan Pas
  • Cadangan kerjasama dua parti terbesar Melayu mendapat sokongan positif daripada Pas
  • Penyatuan Melayu diterajui oleh UMNO dan Pas untuk mengatasi perpecahan
  • Belum ada pertemuan rasmi antara Pemuda UMNO dan Pas, tetapi bersedia berbincang
  • Keputusan kerjasama politik akan diputuskan berlandaskan suara akar umbi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!