Konvesyen Khas Pemuda UMNO: Keputusan perlu dibawa ke MKT, Perhimpunan Agung

PONTIAN – Sebarang keputusan yang dibuat oleh Pemuda UMNO melalui Konvensyen Khas berkaitan kedudukan parti dalam kerajaan Perpaduan perlu dibincangkan dan diputuskan secara rasmi menerusi Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan Perhimpunan Agung UMNO.
Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan bahawa sebarang keputusan besar melibatkan hala tuju parti tidak boleh dibuat secara bersendirian oleh mana-mana sayap parti.
“Segala keputusan perlu dibincangkan di dua platform utama UMNO iaitu Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi dan Perhimpunan Agung UMNO.
“Kita semua sedia maklum terdapat dua majlis besar parti yang akan berlangsung pada Januari dengan Perhimpunan Agung UMNO dijadualkan dari 14 hingga 17 Januari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Cakna Ilmu Tanah di Kampung Parit Dato Onn di sini pada Sabtu.
Ahli Parlimen Pontian itu menekankan, apa juga cadangan termasuk yang dicetuskan oleh Pemuda UMNO ketika ini perlu dibawa dan dibincangkan secara rasmi dalam mesyuarat MKT sebelum diputuskan oleh Perhimpunan Agung UMNO.
“Saya pernah memegang jawatan sebagai Ketua Penerangan dan Setiausaha Agung UMNO.
"Saya amat memahami bahawa hala tuju parti, sama ada mahu kekal seperti sedia ada atau membuat perubahan, hanya boleh ditentukan oleh MKT dan Perhimpunan Agung UMNO,” katanya.
Pada 28 Disember lalu, Pemuda UMNO dilaporkan akan menganjurkan Konvensyen Khas sebagai platform untuk membincang, meneliti dan membuat keputusan mengenai hala tuju parti, khususnya berkaitan kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan pada 3 Januari ini.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dilaporkan berkata, konvensyen berkenaan akan berlangsung di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Dalam pada itu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya turut berpandangan isu utama yang sering menimbulkan ketegangan dalam kalangan ahli parti adalah berkaitan DAP.
“Perkara yang sensitif kepada ahli UMNO ialah DAP. Jika pemimpin dan wakil rakyat DAP tidak menyakitkan hati ahli UMNO, maka hubungan dalam kerajaan Perpaduan akan menjadi lebih harmoni,” katanya.
Beliau berharap, pemimpin DAP di semua peringkat lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan dan mengambil kira sensitiviti ahli UMNO di peringkat akar umbi.
“UMNO mempunyai 191 bahagian, lebih 22,000 ketua cawangan dan lebih tiga juta ahli. Sebelum mengeluarkan kenyataan, pemimpin DAP perlu berfikir dengan teliti agar tidak menyinggung perasaan ahli UMNO,” katanya.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin dilaporkan memuat naik satu hantaran dipercayai merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan semakan kehakiman Najib berhubung Titah Adendum yang bertujuan membenarkan beliau menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Dalam hantaran tersebut, Bee Yin dilaporkan menulis: “Satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini.”
Hantaran itu dimuat naik beberapa jam selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching memutuskan bahawa Titah Adendum berkenaan tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 yang bersidang pada 29 Januari 2024.
Ringkasan AI
- Keputusan Pemuda UMNO dalam Konvensyen Khas harus dibincangkan di Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi dan Perhimpunan Agung UMNO
- Ahmad Maslan menegaskan, keputusan parti tidak boleh dibuat bersendirian oleh mana-mana sayap
- Perhimpunan Agung UMNO dijadualkan dari 14 hingga 17 Januari ini
- Cadangan oleh Pemuda UMNO harus dibawa ke mesyuarat MKT sebelum diputuskan
- Isu utama dalam parti sering berkisar pada ketegangan berkaitan dengan DAP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

