Jaga sensitiviti, elak polemik tidak perlu - Kamil Munim

Muhammad Kamil
Muhammad Kamil
A
A
A

SHAH ALAM - Setiap pihak termasuk Pemuda UMNO mempunyai peranan penting untuk menjaga sensitiviti dan mengelakkan polemik yang tidak perlu serta memastikan setiap pandangan disuarakan bersifat membina selain berpaksikan kepentingan rakyat keseluruhannya.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata sedemikian dalam satu hantaran Facebook sempena Konvensyen Khas Pemuda UMNO yang bermula pada Sabtu.

Beliau mengucapkan selamat berkonvesyen kepada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, sekali gus berharap konvensyen khas itu menjadi ruang yang matang dan bermakna untuk memperkukuh peranan generasi muda dalam menyumbang idea serta pandangan yang membina demi masa depan negara.

"Dalam realiti Malaysia yang majmuk, kestabilan dan keharmonian hanya dapat dipelihara melalui kebijaksanaan, kesederhanaan serta rasa tanggungjawab bersama.

"Setiap pihak mempunyai peranan penting untuk menjaga sensitiviti, mengelakkan polemik yang tidak perlu dan memastikan setiap pandangan yang disuarakan bersifat membina serta berpaksikan kepentingan rakyat keseluruhannya," katanya.

Terdahulu, Pemuda UMNO pada Sabtu menganjurkan Konvensyen Khas di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Konvensyen bertemakan 'Hala tuju UMNO dalam kerajaan Perpaduan' itu bertujuan menyuarakan pandangan dan isi hati secara terbuka serta berani dengan menilai semula kedudukan parti dalam kerajaan kini.

Kamil Munim berkata, perbezaan pandangan adalah lumrah, justeru perlu diurus dengan semangat saling menghormati, memahami dan menyantuni antara satu dengan yang lain.

"Walaupun berlainan latar belakang dan bangsa, kita tetap dengan satu tujuan yang sama, memelihara keharmonian dan membina masa depan Malaysia yang lebih gemilang," ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, adalah wajar untuk semua pihak terus mengamalkan pendekatan yang berhemah, memperkukuh kerjasama dan memelihara keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negara seriring dengan aspirasi kerajaan Madani.

"Dengan komitmen bersama, Insya-ALLAH, kestabilan politik dan kemajuan Malaysia akan dapat terus dikekalkan," menurutnya yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Kamil Munim turut berharap perbincangan yang berlangsung dalam konvensyen terbabit akan membawa kebaikan dan manfaat buat negara.

Ringkasan AI

  • Pemuda UMNO dan setiap pihak perlu menjaga sensitiviti serta mengelak polemik tidak perlu sambil memastikan pandangan bersifat membina
  • Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim menekankan pentingnya menjaga kestabilan dan keharmonian dalam realiti Malaysia yang majmuk
  • Konvensyen Khas Pemuda UMNO diadakan dengan bertemakan 'Hala Tuju UMNO dalam kerajaan Perpaduan' untuk menyuarakan pandangan secara berani dan terbuka
  • Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, perbezaan pandangan adalah lumrah dan perlu diurus dengan semangat menghormati serta memahami antara satu sama lain
  • Beliau juga berharap komitmen bersama untuk menjaga kestabilan politik dan kemajuan Malaysia seriring dengan aspirasi kerajaan Madani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!