AMK pertahan sistem pemilihan parti, nafi lindungi kepimpinan atasan

Muhammad Kamil (tengah) bersama penerima Sumbangan Kasih Madani, Kembali ke Sekolah Parlimen Padang Rengas 2026 di Pusat Komuniti Rakyat, Taman Puncak Bougainvillea pada Sabtu.
Muhammad Kamil (tengah) bersama penerima Sumbangan Kasih Madani, Kembali ke Sekolah Parlimen Padang Rengas 2026 di Pusat Komuniti Rakyat, Taman Puncak Bougainvillea pada Sabtu.
A
A
A

PADANG RENGAS - Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyangkal dakwaan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli yang menyifatkan sistem Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya mempertahankan kepimpinan atasan sehingga mengorbankan kepentingan akar umbi.

Ketuanya, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, pelaksanaan pemilihan PKR pada tahun 2025 menunjukkan penambahbaikan ketara berbanding pemilihan sebelum ini, khususnya daripada sudut pengurusan dan pelaksanaan.

"Walaupun terdapat beberapa kekurangan termasuk kekecohan, namun secara keseluruhan pemilihan itu berjalan dengan baik, telus dan melalui proses audit seperti yang dituntut.

"Jadi saya tidak fikir bahawa sistem itu diwujudkan untuk mempertahankan kelompok tertentu," katanya kepada pemberita sempena program Sumbangan Kasih Madani, Kembali ke Sekolah Parlimen Padang Rengas 2026 di Pusat Komuniti Rakyat, Taman Puncak Bougainvillea di sini pada Sabtu.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan itu menyifatkan, kenyataan Rafizi yang dilontarkan menerusi podcast Yang Bakar Menteri (YBM) episod 28, hanyalah pandangan peribadi beliau.

Menurutnya, secara fakta, setiap keputusan berkaitan sistem dan pemilihan parti dibuat secara kolektif menerusi Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) serta dipersetujui bersama sebelum dilaksanakan.

"Tidak timbul isu melanggar tatacara atau sebagainya. Sepatutnya kita fokus kepada gerak kerja politik, move on dan mara ke hadapan membina semula kekuatan parti," ujarnya.

Terdahulu, Rafizi dilapor mendedahkan bahawa peletakan jawatannya sebagai menteri ekonomi kerana tidak boleh menyokong keputusan dan sistem parti yang 'menyelamatkan' orang atas tetapi 'memangsakan' orang bawah.

Dalam pada itu, Muhammad Kamil berkata, cadangan AMK Selangor agar Pas menyertai Kerajaan Perpaduan perlu dilihat sebagai satu pandangan politik matang.

Artikel Berkaitan:

Katanya, cadangan tersebut mencerminkan kematangan ke arah meredakan pertelingkahan politik dan memberi tumpuan kepada agenda pembangunan negara.

"Fokus utama kita untuk memperkukuh ekonomi dan laksanakan agenda rakyat dan itu perlukan kestabilan politik.

"Sampai pilihan raya nanti, nak berlawan ke, nak bertembung ke, bertembunglah..itu urusan kemudian," katanya.

Ringkasan AI

  • AMK menyangkal dakwaan yang menyatakan sistem PKR hanya mempertahankan kepimpinan atasan
  • Pelaksanaan pemilihan PKR pada tahun 2025 menunjukkan penambahbaikan dari segi pengurusan dan pelaksanaan
  • Kenyataan Rafizi adalah pandangan peribadi dan keputusan parti dibuat secara kolektif
  • Muhammad Kamil mencadangkan Pas menyertai Kerajaan Perpaduan sebagai pandangan politik matang
  • Fokus utama adalah untuk memperkukuh ekonomi dan mengutamakan kestabilan politik

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!