Belia Acheh pertaruh nyawa selamatkan mangsa banjir daripada kebuluran

Belia Acheh terpaksa menggunakan laluan sementara yang berbahaya selepas jambatan asal rosak akibat banjir.
Belia Acheh terpaksa menggunakan laluan sementara yang berbahaya selepas jambatan asal rosak akibat banjir.
A
A
A

ACEH TENGAH - Keberanian dan keprihatinan sekumpulan belia di Kampung Serule, Aceh Tengah, Indonesia menjadi benteng terakhir telah menyelamatkan ratusan penduduk daripada kebuluran selepas kampung itu terputus hubungan sepenuhnya akibat banjir besar dan tanah runtuh sejak akhir November lalu.

Bencana yang melanda pada 26 November 2025 itu melumpuhkan keseluruhan kampung berkenaan apabila bekalan elektrik dan komunikasi terputus serta semua laluan darat tertimbus akibat runtuhan tanah serta banjir.

Menurut Usman, 28, kebimbangan terhadap keselamatan kanak-kanak, warga emas dan keluarga masing-masing mendorong mereka bertindak mencari bantuan, meskipun nyawa menjadi taruhan.

“Kami tidak dapat tidur kerana memikirkan anak-anak, keluarga dan seluruh penduduk kampung. Jika kami tidak bertindak, mereka boleh mati kelaparan,” katanya.


Usman bersama rakan-rakannya berjalan kaki, meredah hutan, laluan berbukit, kebun dan sungai bagi mendapatkan bantuan.
Usman bersama rakan-rakannya berjalan kaki, meredah hutan, laluan berbukit, kebun dan sungai bagi mendapatkan bantuan.

Pada fasa awal bencana, penduduk masih mampu bertahan dengan bekalan makanan yang sedia ada. Namun memasuki hari kelima, stok beras dan keperluan asas semakin menyusut, menyebabkan situasi kian kritikal.

Meredah hutan dan sungai demi bantuan

Dalam keadaan terdesak itu, Usman bersama 31 belia lain mengambil keputusan berjalan kaki meredah hutan, laluan berbukit dan sungai bagi mendapatkan bantuan logistik di Pejabat Camat Bintang.

Artikel Berkaitan:

Perjalanan yang lazimnya hanya mengambil masa kira-kira satu jam dengan motosikal terpaksa ditempuh hampir sehari suntuk akibat jalan runtuh dan banyak laluan terputus hubungan.

Mereka bertolak seawal jam 8 pagi dan hanya tiba di destinasi sekitar jam 6 petang sebelum membawa pulang bekalan beras untuk penduduk kampung.

Motosikal yang diubah suai digunakan untuk meredah laluan berlumpur.
Motosikal yang diubah suai digunakan untuk meredah laluan berlumpur.

Tanpa berehat, kumpulan itu memulakan perjalanan pulang pada waktu malam dan tiba semula di Kampung Serule pada keesokan harinya selepas lebih 24 jam bersengkang mata.

Hampir maut guna motosikal

Sepuluh hari kemudian, apabila keadaan kampung terasa masih terasing dan bekalan kembali berkurangan, kumpulan berkenaan memilih kaedah lebih berisiko dengan menggunakan motosikal melalui laluan sementara yang dirintis sendiri.

“Seorang rakan kami hampir terjatuh ke dalam gaung sedalam 30 meter kerana jalan berlumpur dan licin serta jurang yang dalam di kiri dan kanan jalan,” kata Usman.

Kabel keluli dengan sistem takal digunakan untuk mengangkut motosikal menyeberangi sungai.
Kabel keluli dengan sistem takal digunakan untuk mengangkut motosikal menyeberangi sungai.

Jelasnya, misi kedua itu berjaya membawa pulang kira-kira 1.2 tan bantuan makanan dengan setiap motosikal mengangkut hingga 120 kilogram barang keperluan.

Bantuan kerajaan, cabaran masih wujud

Bantuan kerajaan akhirnya dihantar menggunakan helikopter, namun sehingga sebulan selepas bencana, Kampung Serule masih belum pulih sepenuhnya daripada keterasingan.

Salah seorang penduduk kampung, Setia Anwar turut memuji usaha belia kampung itu yang mencerminkan maruah masyarakat Gayo.

Antara belia yang terlibat mendapatkan bekalan makanan bagi mengelakkan penduduk daripada kebuluran.
Antara belia yang terlibat mendapatkan bekalan makanan bagi mengelakkan penduduk daripada kebuluran.

“Kami tidak mahu meminta-minta. Kami berusaha supaya dapat makan dan anak-anak kami terus hidup,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) mengakui pemulihan akses jalan di Aceh Tengah dan Bener Meriah berdepan cabaran besar, namun menyasarkan laluan utama dapat dibuka sepenuhnya menjelang awal tahun 2026.

Kerajaan wilayah Aceh turut melanjutkan status darurat bencana selama dua minggu lagi bagi mempercepatkan pengagihan bantuan, termasuk ke kawasan pedalaman yang masih terasing.

Bekalan makanan yang dikumpulkan diangkut dengan menggunakan motosikal.
Bekalan makanan yang dikumpulkan diangkut dengan menggunakan motosikal.

Setakat 30 Disember, BNPB melaporkan 1,138 kematian akibat banjir dan tanah runtuh di Sumatera, dengan Aceh Utara mencatat angka korban tertinggi.

Seramai 163 orang masih dilaporkan hilang, manakala lebih 171,000 rumah serta ribuan fasiliti awam rosak atau musnah.

 

 

Ringkasan AI

  • Keberanian belia di Kampung Serule, Aceh Tengah menyelamatkan penduduk dari kebuluran akibat banjir dan tanah runtuh
  • Banjir besar pada 26 November 2025 memutuskan hubungan kampung, elektrik dan komunikasi
  • Belia meredah hutan dan sungai untuk mendapatkan bantuan meskipun berisiko
  • Misi pertama berjalan kaki seharian untuk bantuan, misi kedua menggunakan motosikal hampir maut
  • Bantuan kerajaan melalui helikopter, namun kampung masih terputus sampai sebulan selepas bencana

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!