BERNAS bantu lebih 6,000 mangsa banjir di Perlis, Kelantan

Haslizan (kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima bantuan Program Ikhlas BERNAS Pasca Banjir di Simpang Empat, Perlis.
Haslizan (kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima bantuan Program Ikhlas BERNAS Pasca Banjir di Simpang Empat, Perlis.
A
A
A

SHAH ALAM – Lebih 6,000 mangsa banjir di Perlis dan Kelantan menerima bantuan menerusi Program Ikhlas BERNAS Pasca Banjir yang digerakkan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) bagi meringankan beban komuniti terjejas akibat bencana berkenaan.

Bantuan tersebut melibatkan penduduk di Simpang Empat, Perlis dan Cherang Ruku, Kelantan merangkumi persediaan persekolahan, kotak makanan, sokongan kepada golongan asnaf dan B40 serta kerja-kerja baik pulih infrastruktur komuniti.

Pengurus Kanan Unit Bekalan Skim Wilayah Utara, Haslizan Hashim berkata, sebagai rakan strategik kerajaan dalam industri padi dan beras negara, BERNAS kekal komited membantu komuniti pesawah yang terkesan, khususnya apabila bencana alam menjejaskan sumber pendapatan dan kelangsungan hidup mereka.

BERNAS menyalurkan sumbangan bernilai RM20,000 kepada YAPEIM bagi membaik pulih kerosakan infrastruktur Masjid At-Taqwa, Cherang Ruku, Kelantan.
BERNAS menyalurkan sumbangan bernilai RM20,000 kepada YAPEIM bagi membaik pulih kerosakan infrastruktur Masjid At-Taqwa, Cherang Ruku, Kelantan.

Menurut beliau, tumpuan khusus diberikan kepada keluarga yang mempunyai anak-anak bakal memasuki sesi persekolahan baharu supaya mereka dapat memulakan tahun dengan lebih bersedia walaupun berdepan kesan banjir.

“BERNAS sentiasa memantau situasi bencana dan mengambil langkah proaktif bagi membantu komuniti terjejas melalui fasa pemulihan, selain membuat persediaan menghadapi kemungkinan gelombang banjir seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, beliau memberitahu, di Kelantan, BERNAS dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (YAPEIM) turut menyalurkan bantuan bagi membaik pulih Masjid At-Taqwa di Cherang Ruku, Pasir Puteh yang mengalami kerosakan akibat banjir.

Artikel Berkaitan:

Penyampaian sumbangan persediaan persekolahan kepada komuniti pesawah, asnaf dan keluarga B40 mencerminkan komitmen berterusan serta keprihatinan BERNAS terhadap kesejahteraan komuniti terkesan pasca banjir.
Penyampaian sumbangan persediaan persekolahan kepada komuniti pesawah, asnaf dan keluarga B40 mencerminkan komitmen berterusan serta keprihatinan BERNAS terhadap kesejahteraan komuniti terkesan pasca banjir.

Ujarnya, sebanyak RM20,000 diperuntukkan bagi kerja-kerja pembaikan termasuk membaiki bumbung bocor dan kemudahan asas masjid demi keselamatan serta keselesaan jemaah.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, BERNAS turut menyumbang RM10 juta setahun kepada Tabung Bencana Tanaman Padi bagi membantu pesawah yang terkesan akibat banjir dan faktor luar jangka.

"BERNAS menegaskan komitmen untuk terus mengimbangi keperluan komersial dengan tanggungjawab sosial, dengan kebajikan komuniti pesawah kekal sebagai keutamaan dalam menjamin keterjaminan bekalan beras negara," katanya.

Ringkasan AI

  • BERNAS bantu lebih 6,000 mangsa banjir di Perlis dan Kelantan melalui Program Ikhlas BERNAS Pasca Banjir
  • Bantuan merangkumi persediaan persekolahan, kotak makanan, sokongan kepada golongan asnaf dan B40 serta kerja-kerja baik pulih infrastruktur
  • BERNAS komited membantu komuniti pesawah terjejas oleh bencana alam, fokus kepada keluarga dengan anak-anak bakal memasuki sesi persekolahan
  • Di Kelantan, BERNAS dan YAPEIM bantu membaik pulih Masjid At-Taqwa Cherang Ruku, dengan peruntukan RM20,000 untuk pembaikan bumbung bocor dan kemudahan asas
  • BERSAN sumbang RM10 juta setahun kepada Tabung Bencana Tanaman Padi bagi membantu pesawah terkesan akibat banjir dan faktor luar jangka

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!