Kekosongan luar jangka: Tiga ADUN Perlis fail saman pemula terhadap Speaker DUN

Kenyataan media oleh tiga ADUN Perlis pada Jumaat.
Kenyataan media oleh tiga ADUN Perlis pada Jumaat.
A
A
A

KANGAR - Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas yang dihentikan keahlian memfailkan saman pemula terhadap Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis bagi mencabar pengumuman kekosongan luar jangka melibatkan DUN Guar Sanji, Bintong dan Chuping.

Ketiga-tiga ADUN terbabit, Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Saad Seman (Chuping) dalam kenyataan bersama bertarikh 2 Januari memaklumkan, tindakan itu diambil susulan pengumuman Speaker DUN Perlis bahawa berlaku kekosongan luar jangka bagi tiga kerusi berkenaan.

"Kami telah membaca kenyataan media oleh Tuan Speaker DUN Perlis bertarikh 25 Disember 2025 yang mengumumkan berlaku tiga kekosongan luar jangka bagi DUN Guar Sanji, DUN Bintong dan DUN Chuping.

"Kami sebagai ADUN yang dipilih bagi ketiga-tiga DUN tersebut menghormati pandangan Tuan Speaker, namun kami dengan rendah diri berpendapat pandangan tersebut adalah terkhilaf kerana telah bertindak di luar bidang tugas yang diperuntukkan.

“Oleh itu, kami telah menfailkan saman pemula ke atas Speaker DUN Perlis sebagai defendan pertama dan Dewan Undangan Negeri Perlis sebagai defendan kedua demi menuntut keadilan melalui proses mahkamah,” menurut kenyataan itu.

Mereka menjelaskan, tindakan berkenaan diambil demi kebajikan dan kepentingan rakyat di ketiga-tiga kawasan terbabit yang didakwa tidak mempunyai wakil rakyat untuk tempoh kira-kira dua tahun sebelum pilihan raya negeri diadakan semula.

"Kami menuntut pengumuman yang dibuat defendan pertama adalah di luar aturan, terbatal, tidak sah dan defektif serta relif dan/atau perintah lain oleh mahkamah yang mulia," menurut kenyataan tersebut.

Ketiga-tiga ADUN berkenaan diwakili oleh peguam, Mohd Jamil Yaacob daripada Tetuan Srihana Mohamad and Partners.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Tiga ADUN Pas di Perlis failkan saman terhadap Speaker DUN Perlis untuk mencabar kekosongan luar jangka
  • Saman itu disebabkan oleh pengumuman kekosongan bagi DUN Guar Sanji, Bintong dan Chuping
  • ADUN berkenaan tidak setuju dengan keputusan Speaker mengenai kekosongan dan mendakwa tindakannya terkhilaf
  • Mereka menuntut agar pengumuman kekosongan dianggap terbatal dan tidak sah
  • Tindakan saman diambil untuk memperjuangkan kebajikan rakyat ketiga-tiga kawasan tersebut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!