Speaker DUN Perlis tarik balik pemakluman pilihan raya semula tiga kerusi DUN kosong

Rus’sele menunjukkan notis penarikan balik pemakluman keperluan mengadakan pilihanraya semula di Kompleks Seri Putra di Kangar pada Rabu.
Rus’sele menunjukkan notis penarikan balik pemakluman keperluan mengadakan pilihanraya semula di Kompleks Seri Putra di Kangar pada Rabu.
A
A
A

KANGAR – [DIKEMAS KINI] Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis menarik balik pemakluman berhubung keperluan mengadakan pilihan raya semula bagi tiga kerusi DUN yang dikosongkan secara luar jangka.

Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira perkembangan mutakhir termasuk jaminan Pas untuk terus komited bersama kerajaan negeri Perlis di bawah Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, tiga kerusi yang terlibat ialah DUN Chuping, DUN Bintong dan DUN Guar Sanji yang sebelum ini diumumkan kosong berikutan ketidaklayakan wakil rakyat Pas di bawah Perkara 50A(1)(a)(ii) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis/Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2022.

Notis pemakluman juga tentang keperluan mengadakan pilihan raya semula bagi mengisi kekosongan luar jangka di bawah Fasal (5) Perkara 55 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis.

“Walaupun berlaku kekosongan, kedudukan kerajaan negeri tidak terjejas kerana PN masih memiliki majoriti besar dengan 11 daripada 15 kerusi.

“Dengan jaminan yang diberikan Pas serta kenyataan rasmi Menteri Besar Perlis mengenai agenda perpaduan, saya mendapati tiada keperluan untuk mengadakan pilihan raya semula bagi mengisi kekosongan tersebut,” katanya pada sidang media di Kompleks Seri Putra di sini pada Rabu.

Jelasnya, penarikan balik pemakluman itu telah disampaikan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri Perlis pada Selasa, sehari selepas notis awal dihantar.

Bagaimanapun, Rus’sele menegaskan bahawa kekosongan luar jangka bagi ketiga-tiga kerusi berkenaan kekal berkuat kuasa sebagaimana surat bertarikh 29 Disember 2025.

 

Artikel Berkaitan:

 

Ringkasan AI

  • Dewan Undangan Negeri Perlis menarik balik pemakluman berhubung keperluan pilihan raya semula bagi tiga kerusi DUN yang dikosongkan
  • Keputusan berdasarkan jaminan Pas untuk terus komited bersama Perikatan Nasional di negeri Perlis
  • Tiga kerusi tersebut adalah DUN Chuping, DUN Bintong dan DUN Guar Sanji
  • Keputusan tidak mengadakan pilihan raya semula kerana Perikatan Nasional masih memiliki majoriti besar di negeri itu
  • Penarikan balik pemakluman ini telah disampaikan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Negeri Perlis

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!