Kekosongan 3 DUN: 'Harap jangan sampai PRK diadakan' - MB Perlis

KANGAR - Isu pengosongan luar jangka tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bintong, Chuping dan Guar Sanji diharap dapat diselesaikan dalam waktu terdekat selain tidak membawa kepada perlaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) di kerusi-kerusi berkenaan.
Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah menyatakan ia adalah bagi memastikan penyusunan membabitkan kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perlis dapat dilakukan segera sekali gus melancarkan proses pentadbiran kerajaan.
"Untuk ADUN (yang kerusi dikosongkan) itu kita serah balik (kepada pihak terlibat), kita sedang menanti apa juga tindakan ataupun rayuan daripada ketiga-tiga ADUN itu.
"Kita amat mengharapkan perkara itu dapat diselesaikan dengan segera. Kita tak hendak diadakan PRK, supaya penyusunan antara ADUN-ADUN itu dapat diselesaikan segera," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perlis di Istana Arau pada Ahad.
Dalam perkembangan berasingan, Abu Bakar menyatakan bahawa perlantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang baharu akan dibuat secara seimbang membabitkan ADUN-ADUN daripada Pas dan Bersatu.
Untuk rekod, selepas Speaker DUN Perlis, Rus'sele Eizan mengumumkan pengosongan tiga kerusi DUN terlibat, komposisi ADUN di negeri itu memperlihatkan Pas dengan enam kerusi diikuti Bersatu lima dan juga Pakatan Harapan (PH), satu. - Awani
Ringkasan AI
- Isu pengosongan luar jangka tiga kerusi Dewan Undangan Negeri di Perlis diharap diselesaikan tanpa perlaksanaan Pilihan Raya Kecil
- Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah menyatakan kepentingan segera menyelesaikan isu bagi melancarkan pentadbiran kerajaan
- Pihak berkenaan menunggu tindakan atau rayuan daripada ADUN yang kerusi dikosongkan
- Tiada keinginan untuk mengadakan PRK supaya penyusunan antara ADUN dapat dilakukan segera
- Perlantikan Exco baru akan dibuat secara seimbang membabitkan ADUN daripada Pas dan Bersatu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
