Speaker serah pada SPR pertimbangkan PRK

Rus’sele (dua dari kiri) menyerahkan notis pemakluman rasmi kekosongan kerusi luar jangka kepada SPR. Foto: Speaker DUN
Rus’sele (dua dari kiri) menyerahkan notis pemakluman rasmi kekosongan kerusi luar jangka kepada SPR. Foto: Speaker DUN
A
A
A

KANGAR – Notis pemakluman rasmi kekosongan luar jangka bagi tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis telah diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada jam 12 tengah hari, Isnin.

Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan berkata, setelah penyerahan dibuat, beliau memohon pertimbangan SPR sama ada terdapat keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) atau tidak.

“Saya serahkan semuanya atas pertimbangan pihak SPR,” katanya.

Sebelum ini, Rus’sele mengumumkan tiga kerusi DUN berlaku kekosongan luar jangka selepas Pas menghentikan keahlian tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berikutan tindakan mereka menyatakan hilang sokongan terhadap Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.

Tiga ADUN tersebut ialah ADUN Chuping, Saad Seman; ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail; dan ADUN Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim.

Rus’sele dilaporkan sebagai berkata bahawa walaupun usia DUN Perlis telah genap tiga tahun pada 18 Disember lepas, kerajaan negeri merasakan terdapat keperluan untuk mengadakan PRK bagi mengisi kekosongan di ketiga-tiga kerusi itu demi kepentingan kestabilan kerajaan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Perikatan Nasional (PN) memenangi 14 kerusi (Pas 9, Bersatu 5) manakala Pakatan Harapan (PH) melalui PKR memenangi satu kerusi.

Kedudukan terkini DUN Perlis tinggal 12 kerusi selepas tiga kerusi Pas terhenti keahliannya, dengan agihan terkini ialah Pas (6), Bersatu (5) dan PKR (1).

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Notis kekosongan luar jangka bagi tiga kerusi DUN Perlis diserahkan kepada SPR
  • Speaker DUN Perlis memohon pertimbangan SPR untuk keperluan PRK
  • Tiga kerusi DUN kekosong kerana Pas menghentikan keahlian tiga ADUN
  • Kekosongan itu mengakibatkan kerajaan negeri merasakan perlu ada PRK untuk kestabilan
  • Posisi terkini DUN Perlis ialah Pas (6), Bersatu (5), PKR (1) selepas tiga kerusi Pas kekosong

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!