Senarai calon Exco baharu dipersembah kepada Raja Perlis minggu depan - MB

ABU BAKAR HAMZAH
ABU BAKAR HAMZAH
A
A
A

PADANG BESAR - Senarai nama calon Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) baharu Perlis akan dipersembahkan kepada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada minggu depan, kata Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah.

Beliau berkata, nama calon Exco itu terdiri daripada empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu sahaja memandangkan Pas Pusat memutuskan untuk tidak menganggotai barisan Exco baharu yang akan dibentuknya.

"(Lantikan empat Exco sahaja) memang terlalu mencabar sebab kita ada banyak portfolio… kali ini sekurang-kurangnya lima portfolio satu Exco kena pegang,” katanya pada sidang media sempena acara sambutan Visit Malaysia 2026 di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar di sini pada Khamis.

Abu Bakar (kanan) menyambut pengunjung sempena Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Perlis 2026 di Stesen KTMB Padang Besar, pada Khamis. Foto Bernama
Abu Bakar (kanan) menyambut pengunjung sempena Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Perlis 2026 di Stesen KTMB Padang Besar, pada Khamis. Foto Bernama

Pada sidang media Selasa lepas, Abu Bakar memaklumkan pelantikan Exco baharu Perlis boleh diteruskan dengan sekurang-kurangnya empat ahli susulan keputusan Pas untuk tidak menyertai barisan pentadbiran negeri di bawah kepimpinannya.

Dalam pada itu, Abu Bakar berkata, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuping, Bintong dan Guar Sanji yang kosong akan diurus tadbir Pejabat Menteri Besar Perlis dengan melantik penyelaras bagi pusat khidmat rakyat yang akan dibuka di ketiga-tiga DUN itu.

"Apabila berlaku pembukaan pusat khidmat di kawasan itu, maka kita akan merujuk juga kepada kepimpinan Pas sebab itu kawasan kerusi mereka,” katanya.

Semalam, pada sidang media Speaker DUN, Rus’sele Eizan mengumumkan penarikan balik pemakluman keperluan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan luar jangka di tiga DUN itu.

Artikel Berkaitan:

Rus'sele dilaporkan sebagai berkata keputusan beliau menarik balik pemakluman keperluan mengadakan PRK di tiga DUN itu telah dimaklumkan melalui surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri Perlis pada 30 Disember.

Sehubungan itu, Speaker DUN itu berkata, DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji akan kekal kosong sehingga pilihan raya umum akan datang. - Bernama

 

Ringkasan AI

  • Senarai nama calon Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) baharu Perlis akan dipersembahkan kepada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail
  • Calon Exco terdiri daripada empat ADUN Bersatu selepas Pas memutuskan untuk tidak menganggotai barisan Exco
  • Setiap Exco perlu mengurus sekurang-kurangnya lima portfolio memandangkan hanya empat Exco yang dilantik
  • Kerusi DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji yang kosong akan diurus tadbir dengan melantik penyelaras bagi pusat khidmat rakyat
  • DUN Chuping, Bintong, dan Guar Sanji akan kekal kosong sehingga pilihan raya umum akan datang berikutan penarikan balik pemakluman keperluan PRK

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!