Tempat letak kereta R&R tak lagi cukup

BARU-BARU ini tular video menunjukkan kenderaan di kawasan Rehat & Rawat (R&R) Jejantas Ayer Keroh diparkir di tempat larangan sehingga menyempitkan laluan dan menyebabkan empat kereta digesel treler.
Insiden tersebut mendapat perhatian ramai sebagai gambaran ketidaksempurnaan pengurusan R&R ketika musim perayaan yang berpunca daripada sikap pengguna lebuh raya itu sendiri.
Pada masa sama, ia memberi isyarat jelas bahawa kemudahan tempat letak kereta di R&R tidak lagi dapat menampung jumlah kenderaan yang semakin meningkat saban tahun.
Setiap kali musim perayaan, kita akan menyaksikan jumlah kenderaan yang mendadak. Misalnya Aidilfitri 2025, PLUS Malaysia Berhad menganggarkan sehingga 2.2 juta kenderaan sehari memasuki lebuh raya utama pada hari-hari puncak balik kampung.
Jika diambil kira laluan lain seperti West Coast Expressway, KL–Karak, LPT1 dan LPT2, jumlah kenderaan boleh mencecah 2.7 juta sehari.
Angka ini membuktikan peningkatan trafik yang konsisten dari tahun ke tahun. Bukan sahaja semasa perayaan malah pada cuti persekolahan, lebuh raya tetap sesak dengan jumlah kenderaan yang hampir sama.
Secara teori, R&R sepatutnya menjadi ‘oasis’ untuk pemandu dan penumpang sebagai tempat berehat, menunaikan keperluan asas dan mengisi perut sebelum meneruskan perjalanan jauh.
Namun pengalaman pengguna menunjukkan sebaliknya. Setiap kali musim puncak, R&R sudah sesak di laluan masuk dengan deretan kenderaan diletakkan di tepi jalan, malah petak khas lori turut ‘dirampas’ pemandu kereta.
Dalam keadaan terpaksa, pemandu kereta terutama yang membawa anak kecil atau warga emas akan meletakkan kenderaan di tempat tidak sesuai.
Situasi sedemikian turut menimbulkan konflik emosi antara pengguna terutama pemandu lori yang terpaksa menavigasi ruang sempit.
Apa pun tahniah sudah ada larangan kenderaan berat memasuki lebuh raya ketika musim perayaan. Langkah ini berjaya mengurangkan risiko ancaman keselamatan di jalan raya.
Pengguna lebuh raya yang membayar tol sudah pasti mengharapkan kemudahan selesa. Tidak sekadar jalan lancar, mereka juga mahu tempat rehat selesa dan mencukupi.
R&R bukan sekadar kemudahan tambahan, ia sebahagian daripada pengalaman perjalanan yang selamat dan menyenangkan.
Tidak dinafikan ada beberapa R&R yang dinaik taraf seperti R&R Seremban arah Selatan. Namun ruang letak kereta tetap tidak dapat menampung jumlah kereta ketika waktu puncak.
Mungkin disebabkan hanya berlaku ketika musim perayaan atau cuti panjang, maka ada yang beranggapan situasi itu perkara biasa dan tidak perlu dipandang serius.
Hakikat yang perlu diakui, jumlah kenderaan di Malaysia meningkat saban tahun tanpa ada tanda-tanda berkurangan.
Ketiadaan akta khusus untuk melupuskan atau mengehadkan kenderaan lama menjadikan jumlah keseluruhan kenderaan tidak pernah berkurang, sebaliknya semakin bertambah.
Malaysia antara negara yang masih membenarkan kenderaan berusia lebih 30 tahun terus berada di jalan raya tanpa sebarang had umur atau akta pelupusan wajib.
Selagi kenderaan itu boleh bergerak dan cukai jalan diperbaharui, ia layak digunakan. Ini menyebabkan lebuh raya dan bandar kita kena menampung lapisan kenderaan daripada pelbagai generasi.
Dalam konteks ini, isu kekurangan tempat letak kereta di R&R bukan lagi masalah terpencil tetapi simptom kepada masalah yang lebih besar iaitu perancangan mobiliti negara yang tidak holistik.
Sekiranya tiada tindakan susulan segera di peringkat dasar dan infrastruktur, maka buat sementara waktu, keadaan ini sangat bergantung kepada sikap serta toleransi pengguna lebuh raya.
Pemandu perlu lebih berdisiplin dan bertimbang rasa dengan hanya meletakkan kenderaan di tempat yang dibenarkan serta tidak berhenti terlalu lama.
Pada masa sama, pengguna wajar mematuhi jadual cadangan perjalanan dikeluarkan oleh pengendali lebuh raya bagi mengelakkan kesesakan luar biasa.
Sikap bertimbang rasa dan disiplin kolektif adalah benteng terakhir untuk memastikan lebuh raya kekal selamat dan selesa untuk semua.
*Mohd Ridzuan Abu Hassan ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

