Catuan air berjadual tamat April ini

Sulaiman
Sulaiman
A
A
A

MELAKA TENGAH - Prihatin dengan kesulitan yang terpaksa dihadapi rakyat, kerajaan negeri mengambil keputusan menamatkan catuan air berjadual bermula 1 April ini.

Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Ali dalam satu kenyataan berkata, langkah itu diharapkan dapat melegakan dan menggembirakan lebih 80 peratus membabitkan 735,221 isi rumah termasuk kawasan perindustrian dan perhotelan yang terlibat dalam catuan air yang dilaksanakan pada 29 Januari lalu.

"Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira peratusan paras air di tiga empangan termasuk empangan utama di Durian Tunggal yang menunjukkan peningkatan sejak dua minggu lalu.

"Ia juga mengambil kira situasi yang sedang dihadapi ketika ini. Kerajaan negeri juga bersetuju Program Bekalan Air Berjadual Zon 1 dan Zon 2 yang dimulakan sejak 10 Mac lalu akan ditamatkan pada 1 April ini," katanya dalam kenyataan itu.

Bagaimanapun beliau menasihatkan masyarakat berjimat kerana kaedah bekalan air berjadual akan diaktifkan semula jika paras empangan berada di bawah 40 peratus.

Menurutnya, ia terpaksa dilaksanakan sebagai persediaan yang mengambil kira gelombang kedua musim kering yang lazimnya berlaku sekitar Julai hingga September setiap tahun.

“Syarikat Air Melaka Berhad perlu mengaktifkan semula Program Bekalan Air Berjadual ini dengan kadar segera apabila paras takungan di empangan berada pada tahap di bawah 40 peratus dan menunjukkan trend menurun.

“Jadi saya merayu rakyat negeri Melaka memahami situasi semasa. Semua diharap dapat terus menyokong usaha penjimatan,” tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, sehingga tengah hari ini, empangan utama di Durian Tunggal yang juga sumber air bersih bagi kira-kira 60 peratus penduduk di negeri ini berada pada paras 40.9 peratus dengan kapasiti 12,620 juta liter.

Empangan Jus pula berada pada paras 23 peratus dengan kapasiti 9,975 juta liter dan Empangan Asahan 72.8 peratus berkapasiti 507 juta liter.