'Tiada brek belakang bagi alasan rosak'

JSPT Kuala Lumpur melaksanakan operasi Op Samseng Jalanan di sekitar ibu negara pada Khamis.
JSPT Kuala Lumpur melaksanakan operasi Op Samseng Jalanan di sekitar ibu negara pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Brek belakang rosak menjadi alasan paling popular penunggang motosikal yang dikesan melakukan ubah suai ekstrem, sedangkan tindakan itu dipercayai disengajakan dengan membuang kompenan keselamatan itu kononnya mahukan kelajuan.

Kesalahan itu antara dikesan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur menerusi Op Samseng Jalanan di lima lokasi iaitu Jalan Tun Razak, Jalan Ipoh hala Chow Kit dan Jalan Ipoh hala Sentul, Jalan Tuanku Abdul Rahman serta Jalan Pahang di sini pada Khamis.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa lokasi mendapati rata-rata penunggang membonceng pasangan masing-masing, malah ada antara mereka di bawah umur dengan memberi alasan mahu melihat bunga api dan bersiar sempena Tahun Baharu 2026.

Selain itu, terdapat cubaan penunggang yang berpatah balik melawan arus selepas melihat sekatan jalan raya.

Malah, banyak motosikal yang ditahan dikesan diubah suai dengan menggunakan ekzos 'perang', tiada brek belakang dan pelbagai kesalahan teknikal lain seperti nombor pendaftaran 'fancy', tiada lesen dan tiada cermin sisi.

Antara motosikal tanpa brek belakang serta penggunaan ekzos bising yang disita polis dalam Op Samseng Jalanan pada Khamis.
Antara motosikal tanpa brek belakang serta penggunaan ekzos bising yang disita polis dalam Op Samseng Jalanan pada Khamis.

Seorang penunggang motosikal berusia 19 tahun mendakwa, dia menggunakan ekzos yang dipinjamkan rakan, namun masa sama motosikalnya tidak menggunakan brek belakang biar pun membawa pembonceng.

"Ekzos ini kawan bagi pinjam...saya tahu salah tuan. Brek belakang pun rosak tuan," katanya dalam nada perlahan dengan menundukkan kepala.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, operasi bermula jam 2.45 pagi telah mengeluarkan 778 saman hasil pemeriksaan kira-kira 800 motosikal.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, 90 motosikal pelbagai jenis antaranya Yamaha Y15ZR serta Yamaha LC135 telah disita atas pelbagai kesalahan antaranya penunggang yang tiada lesen dan cukai jalan, ubah suai ekzos serta tayar sotong.

"Kebanyakan yang ditahan berusia lingkungan 15 hingga 19 tahun.

"Alasan ubah suai ekzos, tayar sotong dan tiada brek belakang, mereka kata hanya mahu suka-suka dan terpengaruh dengan kawan. Ada yang kata tiada brek sebab rosak, kalau rosak sepatutnya ditukar, tapi ini kosong," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Mohd Zamzuri (kiri) dan Mohd Azani melaksanakan pemantauan Op Samseng Jalanan di sekitar ibu negara pada Khamis.
Mohd Zamzuri (kiri) dan Mohd Azani melaksanakan pemantauan Op Samseng Jalanan di sekitar ibu negara pada Khamis.

Operasi yang berakhir jam 5 pagi itu turut ditinjau Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Azani Omar.

Tambah Mohd Zamzuri, polis menerima aduan daripada pihak hotel dan penghuni kerana bunyi bising ekzos motosikal.

"Mereka ini suka rem-rem. Ekzos ini yang dipasang sendiri dan dibuat dibengkal dengan harga sekitar RM300 hingga RM600," ujarnya.

Jelas beliau, kesemua motosikal yang disita akan dibawa ke Balai Trafik Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Penunggang motosikal elakkan melakukan ubah suai kenderaan kerana ia mengganggu orang lain dengan kesan bunyi serta tiada brek yang mendatangkan bahaya kepada orang lain. Ibu bapa perlu beri perhatian kepada anak agar lebih prihatin dan tidak melakukan kesalahan," ujarnya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!