Fadli Shaari jawab dakwaan Pas sukar bekerjasama, suka 'poligami politik'

SHAH ALAM - Pas menafikan parti itu sukar bekerjasama dan suka 'berpoligami politik' apabila setiap gabungan yang disertai tidak bertahan lama seperti didakwa seorang ahli akademik.
Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, tuduhan tersebut jelas bersifat prejudis dan longgar dari sudut analisis kerana fakta menunjukkan sebaliknya.
Beliau berkata, dakwaan tersebut juga jelas bertentangan dengan penemuan di dalam tesis ijazah doktor falsafahnya (PhD) ahli akademik itu sendiri yang menunjukkan bahawa Pas tidak pernah memulakan perpecahan gabungan.
"Pas malah bertahan paling lama dalam hampir semua pakatan dan hanya berpisah selepas dikhianati atau disingkirkan. Jika ketegasan mempertahankan prinsip dianggap 'ekstrem', maka yang gagal bekerjasama bukanlah Pas.
"Tetapi rakan-rakan yang mahu Pas berkompromi tanpa had. Itu bukan kegagalan Pas, sebaliknya kegagalan politik oportunis memahami makna tahaluf yang berprinsip," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Seorang ahli akademik ketika menjadi panel jemputan Wacana Sinar Harian pada Rabu dilapor berkata, Pas disifatkan suka 'berpoligami' politik namun sukar bekerjasama dalam konteks gabungan walaupun sudah lama berada dalam arena politik negara.
Menurutnya, pengalaman panjang parti itu dalam landskap politik nasional tidak semestinya menjadikan parti berkenaan bertahan lama dan lebih mudah menyesuaikan diri dalam kerangka kerjasama gabungan.
Susulan kenyataan itu, Ahmad Fadhli memuat naik hantaran panjang di media sosial dengan turut mengemukakan pautan berita melibatkan kerjasama partinya dengan beberapa gabungan sebelum ini.
Memperincikan pautan berita tersebut, Ahli Parlimen Pasir Mas itu menegaskan, setiap penyertaan Pas dalam mana-mana gabungan, parti itu tidak pernah keluar tetapi ia dilakukan oleh parti gabungan lain.
Ringkasan AI
- Pas menafikan tuduhan sukar bekerjasama dan berpoligami politik
- Ahli akademik yang mendakwa Pas sukar bekerjasama telah disanggah berdasarkan tesis PhD
- Pas bertahan lama dalam gabungan dan berpisah hanya bila dikhianati
- Kegagalan bekerjasama bukan pada Pas tetapi pada rakan gabungan yang inginkan kompromi tanpa had
- Pas tidak pernah keluar dari gabungan tetapi ditinggalkan oleh parti gabungan lain
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

