Realiti konflik manusia dengan ‘Orang Besar’

Konflik manusia dan gajah atau mamalia yang lazimnya digelar ‘Orang Besar’ oleh kebanyakan masyarakat Orang Asli bukanlah isu baharu.
Antara 2020 hingga 2024 sahaja, sebanyak 4,919 aduan konflik manusia-gajah direkodkan di seluruh negara meliputi anggaran kerugian RM39.4 juta.
Saya bersama wartawan, Aisyah Basaruddin sebenarnya ke Royal Belum, Perak dalam usaha membuat laporan khas berkenaan Harimau Malaya. Misi kami ketika itu untuk bertemu dengan Tok Batin Kampung Katong dan Kampung Ralak Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kemar.

Pun begitu, ketika kami rancangan berbual dengan Tok Batin halwa telinga saya turut menangkap mengenai perkongsian gajah yang berpuluh tahun ‘mengganggu’ komuniti Orang Asli suku kaum Temiar.

Terletak di kaki bukit Banjaran Titiwangsa, Tok Batin mengakui penduduk kampung tak tidur lena selama 20 tahun dan sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga lantaran setiap hari ada saja gajah liar memasuki kawasan rumah untuk mencari makanan.
Keadaan sebegini memaksa mereka untuk bergilir-gilir menjaga kawasan rumah khususnya pada waktu malam kerana bimbang hasil tanaman sayur dan buah habis dimakan ‘Orang Besar’.

Bunyi dentuman mercun buatan tangan yang sahut-menyahut selang 15 minit menjadi kebiasaan di 15 kampung di RPS Kemar, tidak kurang juga seorang pemuda menceritakan pengalaman pahit terkena mercun buatan sendiri hanya kerana ingin menghalau gajah memasuki pekarangan rumah sehingga tangannya terputus.
Kru Sinar Harian yang sempat merasai pengalaman tiga hari dua malam di Gerik, Perak dibawa ‘menghendap’ gajah liar yang aktif berkeliaran mencari buah durian dari belakang rumah inap.

Itulah antara pengalaman mendebarkan saya sepanjang menjadi jurugambar apabila ‘Orang Besar’ liar cuma kira-kira 150 meter sahaja daripada kedudukan kami di rumah inap.
Malah, ketika kami menyusuri Tasik Banding untuk pulang ke Kem Kenarong, kami bertembung sekumpulan gajah sekitar 11 ekor yang mencari makan dan ‘mandi’.

Pertembungan antara manusia dan gajah bukan lagi isu terpencil, ia memerlukan tindakan bersepadu yang dua kali ganda agresif daripada kerajaan.
Atas dasar itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) melaksanakan pelbagai usaha antara lain translokasi gajah liar, rondaan yang lebih kerap, pemasangan pagar elektrik, penguatkuasaan kempen kesedaran di media sosial sehinggalah pembangunan santuari gajah.

Bagaimanapun, usaha ini tidak mungkin diperhebat tanpa penglibatan orang awam dalam konteks menjaga keharmonian bersama.
Usah biar tragedi yang merobek emosi rakyat Malaysia pada Hari Ibu iaitu 11 Mei lalu di mana seekor anak gajah maut dilanggar lori, manakala ibunya setia menanti di lokasi kejadian selama lebih lima jam berulang kembali.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
