Jamal hantar surat tawaran guna resort pusat kuarantin esok

No Image Caption
A
A
A

SUNGAI BESAR - Pemilik Sekin Fisherman Village Hotel & Resort, Datuk Seri Jamal Md Yunos sedia menawarkan resortnya sebagai pusat kuarantin dan rawatan bagi persediaan menampung pesakit koronavirus (Covid-19) di Utara Selangor.

Jamal berkata, surat tawaran permakluman berhubung hasratnya itu akan dihantar kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan agensi berkaitan esok.

Menurutnya, pihaknya bersedia pada bila-bila masa sahaja untuk menjadikan resort itu sebagai pusat kuarantin mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang diperlukan pihak berwajib.

"Jika dibenarkan beroperasi (sebagai pusat kuarantin) kita akan menyerahkan segala kemudahan dan fasiliti kepada pihak bertanggungjawab," katanya kepada Sinar Harian.

Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar berkata, beliau juga meminta pengusaha hotel di negara ini melakukan inisiatif serupa dalam usaha membantu kerajaan menangani penularan Covid-19.

"Inilah masanya semua pengusaha hotel menabur bakti dan jasa kepada negara dalam menghadapi virus pandemik ini agar tiada rakyat teraniaya," katanya.

Beliau berkata, dengan adanya kerjasama hotel di seluruh negara mereka yang ditempatkan di bilik-bilik hotel tidak terdedah dengan jangkitan.

Katanya, beliau bimbang sekiranya berlakunya gelombang ketiga jumlah pesakit dijangkiti wabak itu meningkat terutama jika pesakit ditempatkan di Dewan Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) seperti yang diumumkan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga bimbang dengan usaha kerajaan yang menempatkan pesakit di Dewan Maeps yang diubahsuai untuk dijadikan pusat kuarantin memandangkan persekitarannya terlalu terbuka yang mengundang risiko jangkitan lebih tinggi.

"Dalam kapasiti ramai kita bimbang jika dilakukan ujian saringan Covid-19 mungkin ada dalam kalangan mereka yang bergejala sebenarnya positif Covid-19 didapati negatif selepas kali pertama jalani saringan.

"Kita tahu Covid-19 ini perlu menjalani beberapa ujian saringan kerana virus yang ada di dalam badan pesakit sukar dikesan terutama jika mereka yang positif ditempatkan dengan mereka yang sihat dan bebas daripada virus ini," katanya.

Menurut Jamal, dalam usaha negara memerangi wabak itu beliau mencadangkan agar mereka yang bergejala ditempatkan di bilik hotel dengan jumlah lebih sedikit.

"Saya yakin bilik hotel dengan ruang lebih kecil menempatkan hanya dua atau tiga mereka bergejala yang tidak terdedah berbanding di Dewan Maeps yang menempatkan jumlah pesakit lebih ramai dalam satu-satu masa," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Jamal bersedia menawarkan kepada kerajaan untuk menjadikan resort itu sebagai salah satu pusat kuarantin dan rawatan bagi persediaan menampung pesakit Covid-19 di Utara Selangor.

Menerusi status dimuatnaik di akaun Facebook Iqbal Khalid berkata, resort yang terletak di Jalan Pantai Redang Sekinchan itu mampu menampung sehingga 300 hingga 400 jumlah pesakit.