'Datuk Seri' mohon SPRM perinci tuduhan rasuah RM15 juta

Choo Thiam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini sebelum ini atas empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM15 juta bagi mendapatkan projek milik agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), pada Jun dan Julai tahun lalu.
Choo Thiam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini sebelum ini atas empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM15 juta bagi mendapatkan projek milik agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), pada Jun dan Julai tahun lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengarah syarikat bergelar Datuk Seri yang didakwa atas pertuduhan rasuah RM15 juta bagi mendapatkan projek milik agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) memohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperincikan butiran dalam pertuduhan itu.

Peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik mewakili Datuk Seri Sim Choo Thiam, memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob bahawa pihaknya telah menyerahkan surat mengenai perkara tersebut yang bertarikh 6 Jun kepada SPRM.

"Pihak kami masih belum menerima maklum balas mengenai surat tersebut,” katanya.

Semasa ditanya Rozina mengenai surat itu, Timbalan Pendakwa Raya Abd Muntaqim Abdul Aziz berkata pihaknya tidak dimaklumkan mengenai surat tersebut.

Rozina meminta pihak pendakwaan mendapatkan perkembangan terkini mengenai surat itu dan menetapkan 28 Jun ini untuk pengurusan kes.

Pada 10 Mei lepas, Choo Thiam, 53, didakwa meminta suapan wang berjumlah RM15 juta daripada Pengarah Urusan Asia Coding Centre Sdn Bhd, Hep Kim Hong melalui Syed Abu Zafran Syed Ahmad.

Ia sebagai dorongan untuk seorang pegawai badan awam, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang ketika itu Menteri Dalam Negeri, membantu Asia Coding Centre untuk mendapatkan apa-apa projek milik agensi-agensi di bawah KDN.

Choo Thiam juga berdepan tiga lagi pertuduhan menerima bagi dirinya suatu suapan, iaitu wang tunai berjumlah RM15 juta daripada individu sama (Hep) sebagai dorongan untuk Hamzah melakukan perkara serupa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Shaas Holdings dan di kawasan letak kereta di Solaris Dutamas, Jalan Dutamas 1 di sini antara Jun 2021 dan 30 Julai 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. - Bernama