Sindiket pekerjaan Myawaddy: Mangsa dibiar kelaparan, dipukul dengan besi

KOTA TINGGI – Gara-gara terpedaya dengan janji manis iklan di Facebook yang menawarkan barangan perniagaan pada harga murah, seorang kru penerbangan di Singapura, menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Myawaddy, Myanmar.
Mangsa mahu dikenali sebagai Chew, 26, merupakan antara 31 rakyat Malaysia yang berjaya dibawa pulang dan selamat tiba di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah pada 20 Disember lalu, hasil usaha bersepadu pihak berkuasa Malaysia dengan kerjasama negara jiran.
Chew yang berasal dari Kota Tinggi berkata, episod hitam yang menimpa dirinya bermula pada 1 Oktober tahun lalu apabila dia tertarik dengan satu iklan di Facebook yang menawarkan peluang mendapatkan barangan perniagaan pada harga murah kononnya terus dari gudang di Thailand.
“Pada awalnya saya hanya berurusan secara dalam talian dan diminta datang ke Bangkok, Thailand untuk melihat sendiri stok barangan.
"Saya beli tiket penerbangan dan terbang pada 4 Oktober. Sebaik tiba di lapangan terbang, saya disambut seorang individu dari gudang berkenaan.
"Kemudian individu itu beritahu Bangkok sedang banjir. Saya dibawa ke bandar Tak yang terletak antara Chiang Mai dan Bangkok," katanya pada sidang akhbar oleh ADUN Stulang, Andrew Chen Kah Eng di sini, pada Rabu.

Chew memberitahu di Tak, dia seterusnya dibawa ke Myawaddy Myanmar dengan dikawal ketat oleh ahli sindiket.
"Di Myawaddy, saya ditempatkan di sebuah rumah dua tingkat di kawasan kampung. Di situ ada ramai askar dan pasport saya diambil.
"Ahli sindiket suruh saya bekerja membuat panggilan Love Scam kepada mangsa di Hong Kong. Sehari kena buat 30 panggilan. Selepas saya dapat pujuk mangsa, panggilan akan disambung kepada pihak lain," katanya.
Chew berkata, setiap percubaannya untuk membuat panggilan meminta pertolongan termasuk menghubungi ahli keluarga di Malaysia gagal, malah dia dipukul dengan besi.
“Saya pernah dikurung selama lapan hari tanpa diberi makan dan hanya bergantung kepada minum air dari tandas,” katanya.
Menurutnya, terdapat sekurang-kurangnya 60 rakyat Malaysia ditempatkan di sebuah rumah yang dijadikan pusat panggilan sindiket berkenaan.
“Pada awal bulan ini, rumah tersebut diserbu pihak berkuasa sebelum kami dibawa ke Thailand bagi tujuan dokumentasi," ujarnya.
Chew, yang telah bekerja sebagai kru penerbangan di Lapangan Terbang Changi, Singapura selama dua tahun, mengakui tidak menyangka impiannya untuk menjalankan perniagaan dalam talian berakhir dengan pengalaman ngeri.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati, khususnya ketika melancong ke luar negara dan mengelakkan sebarang bentuk pelaburan atau urusan perniagaan dengan individu yang tidak dikenali.
"Lebih penting soal bercinta terutama melalui internet perlu lebih berwaspada kerana banyak penipuan dalam talian," katanya.
Dalam pada itu, Andrew berkata, kes kehilangan pemuda itu dimaklumkan oleh pihak keluarga sebelum dilaporkan kepada pihak polis dan kedutaan.
"Ambil iktibar dari mangsa ini. Pergi luar negara bercuti atau cari peluang perniagaan atau pelaburan mesti bincang dengan keluarga.
"Sekiranya keluar negara kali pertama mesti ada kawan kalau seorang ada risiko ditangkap atau diculik," ujarnya.
Ringkasan AI
- Seorang kru penerbangan di Singapura terpedaya dengan iklan di Facebook, menjadi mangsa sindiket penipuan di Myanmar
- Mangsa diberi janji manis peluang perniagaan barang murah dan dibawa ke Myawaddy, Myanmar
- Di sana, dia dipaksa bekerja membuat panggilan Love Scam dan diseksa jika gagal mendapat mangsa
- Lebih 60 rakyat Malaysia juga terjebak dalam sindiket yang sama dan ditempatkan di sebuah rumah panggilan
- Mangsa menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dengan pelaburan dan urusan perniagaan dengan individu tidak dikenali
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

