Nahas helikopter TLDM: Seorang kru masih dirawat di ICU

MELAKA - Seorang daripada empat anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terlibat dalam insiden helikopter Super Lynx melakukan pendaratan cemas di perairan Pantai Klebang pada Rabu masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Melaka.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, seorang anggota lagi berada di zon hijau unit kecemasan manakala dua yang lain telah dibenarkan keluar dari hospital.
Menurutnya, hasil laporan daripada pihak hospital mendapati kedua-dua anggota yang masih menerima rawatan kini berada dalam keadaan stabil namun memerlukan pemantauan rapi.
“Kementerian sedang berusaha mendapatkan kerjasama antara Hospital Melaka dan Hospital Angkatan Tentera di Lumut bagi memindahkan anggota yang dirawat di Unit Kecemasan ke sana sekiranya sesuai.
“Bagi anggota di ICU pula, walaupun sudah sedar dan stabil, pemantauan rapi masih diperlukan,” katanya selepas melawat anggota berkenaan di Hospital Melaka pada Khamis.
Mangsa yang dirawat di ICU ialah Leftenan Komander Afiq Muzani Abdul Aziz TLDM, yang berperanan sebagai Pegawai Taktikal Udara (TACCO), manakala kru di zon hijau ialah Bintara Kanan Technician Marine Srimala (Kuarter Master Udara), Mohammad Zullfika Mohiddi.
Dua lagi kru yang telah dibenarkan keluar dari hospital ialah Leftenan Komander Muhamad Kamal Abdul Rani TLDM dan Leftenan Mohammad Faiz Razali TLDM, masing-masing berperanan sebagai juruterbang dan pembantu TACCO.
Adly berkata, Kementerian Pertahanan akan memberi keutamaan kepada kebajikan anggota terlibat selain memastikan aspek keselamatan diberi perhatian serius.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan TLDM telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat punca kejadian melibatkan helikopter berkenaan.
Beliau turut memaklumkan operasi menyelamat dan membawa keluar aset helikopter berkenaan akan dilaksanakan hari ini bagi tujuan penilaian teknikal lanjut.
“Kita akan menyelesaikan proses menyelamat aset hari ini dan seterusnya menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan,” katanya.
Dalam kejadian sekitar jam 10.50 malam, helikopter yang dinaiki empat kru itu melakukan pendaratan cemas di perairan Pantai Klebang.
TLDM dalam satu kenyataan memaklumkan pesawat berkenaan sedang melaksanakan penerbangan demonstrasi sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-60 Grup Gerak Khas (GGK), Tentera Darat Malaysia (TDM).
Kesemua kru helikopter tersebut berjaya diselamatkan dan dibawa ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut.
Ringkasan AI
- Seorang anggota TLDM masih dirawat di ICU, Hospital Melaka selepas helikopter Super Lynx pendaratan cemas di Pantai Klebang
- Seorang lagi anggota berada di zon hijau unit kecemasan dan dua lain telah dibenarkan keluar dari hospital
- Kedua-dua anggota yang masih dirawat kini berada dalam keadaan stabil tetapi memerlukan pemantauan rapi
- Kementerian Pertahanan sedang usahakan pemindahan anggota yang dirawat ke Hospital Angkatan Tentera jika sesuai
- TLDM telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyiasat punca kejadian dan operasi menyelamat helikopter akan dilaksanakan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

