'Kelantan budaya tinggi, tak elok sohor dengan pergaduhan' - Majistret

KOTA BHARU - Mahkamah Majistret di sini pada Rabu menegur perbuatan pergaduhan sekumpulan individu berhampiran Pasar Melor yang disifatkan mencemarkan imej Kelantan dan mengenakan denda masing-masing RM1,000 terhadap lima wanita terlibat.
Tertuduh termasuk dua beranak, Rozita Ramli, 47, anaknya, Aleeya Maisara Hasbullah, 19, dan menantunya, Siti Nor Bakyah Abdullah, 19, serta dua beradik, Siti Sara Suaini, 30, dan Siti Mastura, 28, didenda selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.
Rais Imran sebelum menjatuhkan hukuman itu menegur perlakuan mereka dan menasihati supaya tidak mengulangi kesalahan sama selain menegaskan sebarang pertikaian perlu diselesaikan secara berhemah tanpa mencetuskan kekecohan awam.
“Penduduk di Kelantan terkenal dengan budaya dan berbudi bahasa tinggi.
“Tidak elok Kelantan jadi sohor dengan perkara seperti ini. Jika ada masalah, selesaikan dengan cara baik,” katanya.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama melakukan gaduh gempar di tempat awam hadapan Pasar Melor, di sini, pada jam 2.30 petang, 25 Disember lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nadzir Abdullah, manakala semua tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Atikah Abd Halim.
Pada prosiding itu, Muhammad Nadzir memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran memandangkan siasatan mendapati pergaduhan tersebut berpunca daripada perselisihan faham di aplikasi TikTok yang kemudiannya dibawa ke pergaduhan hingga mengganggu ketenteraman awam.
Menurutnya, situasi itu membimbangkan apabila pertikaian di media sosial mencetuskan keganasan fizikal dan membabitkan ahli keluarga termasuk ibu, anak serta adik-beradik.
“Jika benar tertuduh mempunyai keberanian untuk bertempur, mereka sepatutnya menyertai sukan tempur berdaftar dan berdisiplin yang kekuatannya diuji mengikut peraturan, dipantau pengadil serta dihormati masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Siti Atikah dalam rayuannya memohon hukuman minimum dengan mengambil kira rakaman video kejadian yang tular di media sosial sudah menjadi pengajaran kepada semua tertuduh selain kesemua mereka menyesal atas perbuatan tersebut.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,000 tersebit ke atas setiap tertuduh dan penjara selama tiga bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Kesemua tertuduh kemudian membayar denda berkenaan.
Sebelum ini, seramai 12 individu terdiri daripada tujuh wanita dan lima lelaki berusia antara 20 hingga 50an ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut.
Rakaman kejadian minggu lalu itu turut tular di media sosial.
Ringkasan AI
- Mahkamah Majistret Kota Bharu mendenda lima wanita RM1,000 setiap seorang kerana pergaduhan di Pasar Melor
- Terdapat dua beranak dan dua beradik antara yang didenda
- Majistret menegur perilaku mereka dan menasihatkan supaya menyelesaikan pertikaian secara berhemah
- Pergaduhan berpunca dari perselisihan faham di aplikasi TikTok
- Hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

