Hujah dengan fakta dan data

Shabudin Md Saman berkongsi pengalaman kepimpinan yang menekankan integriti dan disiplin sepanjang memimpin Feiran Technology.
Shabudin Md Saman berkongsi pengalaman kepimpinan yang menekankan integriti dan disiplin sepanjang memimpin Feiran Technology.
A
A
A

GAYA kepimpinan tenang, tegas dan berteraskan kepercayaan semakin menjadi faktor penentu kejayaan sesebuah syarikat khususnya dalam industri teknologi berimpak tinggi yang menuntut ketelitian, ketahanan emosi serta keputusan strategik yang konsisten.

Model kepimpinan sedemikian terbukti berkesan apabila organisasi mampu mengekalkan prestasi kewangan yang stabil, membina kesetiaan pekerja dan kekal relevan dalam landskap teknologi yang sentiasa berubah.

Pendekatan itu diterapkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Feiran Technology Sdn Bhd, Shabudin Md Saman, 61, yang dikenali sebagai ketua yang tidak mudah marah dan mengutamakan hujah serta data dalam setiap keputusan.

Lebih menarik, sifat inilah yang memastikan syarikatnya kekal cemerlang dan tidak pernah mencatatkan kerugian sejak penubuhannya lebih dua dekad lalu.

Di sebalik gaya kepimpinan yang sederhana itu, Shabudin sebenarnya figura penting dalam memacu transformasi digital industri berat negara, khususnya sektor automotif, aeroangkasa dan pembuatan menerusi teknologi simulasi serta pembangunan digital bertaraf global.

Shabudin berkata, minat terhadap teknologi mula bercambah ketika beliau menuntut di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kulim pada 1977, sebuah institusi yang pada ketika itu menjadi antara peneraju pendidikan berasaskan sains dan teknologi di negara ini.

Projek STDCx dan KSSA memperkenalkan platform 3DEXPERIENCE sebagai permulaan pembangunan Projek Stadium Shah Alam pada tahun 2023.
Projek STDCx dan KSSA memperkenalkan platform 3DEXPERIENCE sebagai permulaan pembangunan Projek Stadium Shah Alam pada tahun 2023.

Menurut beliau, persekitaran pembelajaran di MRSM yang menekankan disiplin, pemikiran analitikal serta pendedahan kepada teknologi moden telah membuka perspektif awal terhadap potensi bidang tersebut sebagai satu kerjaya jangka panjang.

Artikel Berkaitan:

“Selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia, saya melanjutkan pengajian ke Amerika Syarikat di bawah tajaan Majlis Amanah Rakyat. Di sana, saya memperoleh ijazah Pengurusan Maklumat di University of the Pacific, California.

“Seterusnya, saya menyambung pengajian peringkat sarjana dalam bidang Operations Research di bawah Fakulti Kejuruteraan, Stanford University, Palo Alto yang membentuk pemikiran sistematik serta pendekatan penyelesaian masalah dalam kerjaya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Sekembalinya ke dunia pekerjaan, Shabudin memulakan kerjaya profesionalnya bersama Hewlett Packard pada tahun 1987 sebagai jurutera sistem, ketika syarikat itu tergolong antara pengeluar komputer terbesar dunia.

“Pengalaman di Hewlett Packard bukan sahaja mengasah kemahiran teknikal, malah memperkukuh kebolehan saya berurusan dengan pelanggan, memahami keperluan industri serta mengurus jangkaan pihak berkepentingan,” katanya.

Selepas hampir lima tahun, beliau kembali ke Malaysia untuk menyertai Petroliam Nasional Bhd (Petronas) sebagai perancang teknologi maklumat. Dalam peranan itu, Shabudin bertanggungjawab merangka sistem bagi anak-anak syarikat Petronas.

“Daripada situ, saya kemudian beralih ke syarikat lebih kecil sebelum menyertai syarikat tempatan yang disenaraikan di Bursa Malaysia yang memberi pendedahan luas tentang operasi dan tadbir urus syarikat tempatan.

“Pendedahan inilah yang membuatkan saya merasakan diri cukup berpengalaman untuk menubuhkan syarikat sendiri,” jelas beliau.

Feiran Technology turut bekerjasama dengan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi meningkatkan kemahiran teknikal graduan.
Feiran Technology turut bekerjasama dengan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi meningkatkan kemahiran teknikal graduan.

Dorongan tidak dirancang menubuhkan Feiran

Penubuhan Feiran Technology tidak bermula dengan perancangan untuk menjadi usahawan, sebaliknya tercetus hasil dorongan kenalan industri ketika beliau berurusan dengan International Business Machines Corporation (IBM).

Cadangan untuk mengambil alih pemasaran serta sokongan produk perisian dari Perancis yang dibangunkan oleh Dassault Systemes menjadi titik tolak kepada penglibatan serius Shabudin dalam bidang transformasi digital industri pembuatan.

“Idea untuk membuka syarikat sebenarnya tidak pernah terlintas pada awalnya. Namun, ia bermula hasil perbincangan dengan beberapa kenalan, antaranya seorang pengurus dari IBM yang mencadangkan agar saya mencuba menjual sebuah produk dari Perancis.

“Walaupun pada ketika itu saya tidak begitu arif mengenai produk tersebut, atas minat dan semangat untuk mencuba, saya bersetuju mengambil alih produk berkenaan daripada IBM.

“Produk itu ialah perisian CATIA daripada Dassault Systèmes, sebuah syarikat teknologi dari Perancis yang menyokong pendigitalan proses reka bentuk dan pembuatan industri,” katanya.

Keputusan menerima cabaran tersebut akhirnya membawa kepada penubuhan Feiran Technology dan membuka laluan kepada penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian teknologi global yang sebelum ini dikuasai pemain antarabangsa.

Projek Proton lonjakan reputasi

Antara projek terawal yang menjadi pemangkin utama pertumbuhan Feiran ialah kerjasama bersama PROTON Holdings Bhd (Proton) dalam pembangunan kereta nasional Waja sekitar tahun 2000.

“Feiran terlibat menyediakan perisian serta sokongan teknikal yang digunakan dalam proses reka bentuk, simulasi dan pengesahan kejuruteraan kenderaan tersebut.

“Projek berkenaan bukan sahaja memperkukuh kepercayaan industri terhadap keupayaan syarikat tempatan, malah melonjakkan reputasi Feiran sebagai rakan teknologi strategik dalam pembangunan produk berteknologi tinggi,” ujar beliau.

Sejak itu, Feiran terus berkembang dan kini menjadi rakan kepada pelbagai pengeluar automotif utama termasuk Perodua, Modenas, Naza serta jenama antarabangsa seperti Toyota, Honda dan BMW.

Dalam sektor aeroangkasa pula, syarikat itu bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan termasuk National Aerospace Industry Corporation dalam membangunkan ekosistem industri berteknologi tinggi di Malaysia.

Mengulas gaya kepimpinan, Shabudin berkata, pendekatan beliau berubah seiring pertumbuhan syarikat daripada hanya dua pekerja kepada hampir 30 kakitangan hari ini.

“Saya tidak mengklasifikasikan diri sebagai seorang yang tegas atau garang kerana secara peribadi saya sukar untuk memarahi orang. Pada peringkat awal, disiplin, kerja keras dan kejujuran menjadi asas utama kerana segala tanggungjawab perlu dipikul sendiri tanpa sokongan sistem besar.

“Selepas melepasi fasa tersebut, peranan saya beralih kepada menjadi ‘role model’ kepada pekerja. Kita perlu mempunyai integriti yang kuat serta menunjukkan tata kerja yang baik agar dapat dicontohi pasukan,” katanya.

Kini, apabila syarikat terus berkembang, beliau lebih memberi kepercayaan kepada pekerja untuk menyerlahkan bakat dan kreativiti, selaras dengan keperluan industri teknologi yang menuntut inovasi berterusan.

Pendekatan itu menyumbang kepada tahap kesetiaan pekerja yang tinggi apabila sebahagian besar kakitangan masih kekal bersama syarikat sejak penubuhan pada tahun 2004.

Di bawah kepimpinan Shabudin, Feiran memfokuskan kepada teknologi simulasi dan transformasi digital yang menukar objek fizikal sedia ada seperti kenderaan atau peralatan industri kepada bentuk digital bagi tujuan reka bentuk, analisis serta pembangunan.

Pendekatan ini membolehkan simulasi, perancangan serta penilaian risiko dilakukan secara maya sebelum pelaksanaan sebenar sekali gus meningkatkan kecekapan serta mengurangkan kos.

“Feiran sering dilihat sebagai sebuah syarikat teknologi berteraskan teknologi maju kerana kami memberi tumpuan kepada simulasi serta pendigitalan.

“Dalam operasi perniagaan, kami banyak bekerjasama dengan pemain industri pembuatan Malaysia termasuk pengeluar automotif, aeroangkasa serta sektor pembuatan lain seperti kereta api dan perkapalan,” ujarnya.

Selain mentransformasikan kereta atau kapal terbang fizikal kepada bentuk digital, Feiran turut terlibat dalam pembangunan bandar digital termasuk projek di Iskandar Johor dan Shah Alam.

“Saya berpendapat Malaysia kini menuju kepada transformasi digital ke arah tenaga kerja bernilai tinggi dan Feiran berada pada masa yang tepat untuk menyokong inisiatif kerajaan.

“Di Malaysia, kami telah bermula dengan bandar Iskandar di Johor dan kini bekerjasama dengan Selangor untuk melihat bagaimana bandar Shah Alam boleh ditransformasikan ke bentuk digital.

“Dari segi skala dan kos projek, ia bernilai antara RM100,000 hingga RM15 juta. Bagi projek ‘City’, anggarannya berada dalam julat RM2 hingga RM5 juta,” jelas beliau.

Sepanjang lebih dua dekad operasi, Feiran turut berdepan pelbagai cabaran termasuk ketidaktentuan ekonomi dan gangguan operasi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Shabudin berkata, ketenangan dalam membuat keputusan dan kesediaan menyesuaikan model operasi membolehkan syarikat terus berfungsi melalui pendekatan dalam talian dan kaedah kerja maya.

“Seiring peningkatan usia, saya akui cabaran terbesar kini adalah memastikan kesinambungan kepimpinan dan pengurusan syarikat pada masa hadapan.

“Justeru, saya memberi penekanan kepada pembangunan bakat dalaman serta pemindahan ilmu bagi memastikan Feiran Technology terus bergerak secara mampan,” kongsi Shabudin.

Tambahnya, antara inisiatif yang sedang dilaksanakan termasuk kolaborasi bersama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dalam pembangunan technopark berasaskan aeroangkasa selain usaha meningkatkan kemahiran teknikal dalam kalangan graduan.

“UTHM telah diberi mandat untuk menjalankan kajian berkaitan kapal terbang dan merupakan universiti pertama yang memiliki landasan kapal terbangnya sendiri.

"Kami kini bekerjasama dengan pihak pengurusan UTHM untuk membangunkan kemudahan lapangan terbang universiti itu.

“Selain itu, kolaborasi ini juga bertujuan membantu UTHM meningkatkan kemahiran pelajar dan pekerja dalam bidang aeroangkasa, termasuk pembangunan skill teknikal yang diperlukan industri,” katanya.

Feiran Technology pernah menerima pelbagai anugerah utama sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan dan inovasi syarikat dalam industri teknologi.
Feiran Technology pernah menerima pelbagai anugerah utama sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan dan inovasi syarikat dalam industri teknologi.

Nasihat kepada usahawan muda

Sebagai penutup, Shabudin turut menasihatkan usahawan muda agar menjadikan kepentingan pelanggan sebagai asas utama dalam membina perniagaan.

“Untuk menjadi seorang usahawan, kejujuran terhadap pelanggan amat penting. Apabila berurusan dengan pelanggan, kita mesti jujur, berdisiplin dan sentiasa mengambil kira apa yang terbaik untuk mereka.

“Kejayaan tidak hadir melalui jalan pintas, sebaliknya memerlukan kerja keras, ketekunan dan kesediaan belajar secara berterusan,” katanya.

Dengan rekod prestasi kewangan yang stabil serta pendapatan hampir empat puluh juta ringgit pada tahun 2024, Shabudin membuktikan bahawa kepimpinan berteraskan nilai mampu membina syarikat teknologi tempatan yang mampan, berdaya saing dan relevan dalam landskap digital negara.

“Alhamdulillah, tiada tahun di mana syarikat mengalami kerugian. Kami sentiasa mencatat keuntungan walaupun berdepan pelbagai cabaran.

“Pada 2024, pendapatan syarikat hampir mencecah RM40 juta dengan keuntungan sekitar RM2 juta,” kata beliau.

 

Ringkasan AI

  • Gaya kepimpinan tenang, tegas dan berteraskan kepercayaan meningkatkan kejayaan syarikat
  • Shabudin Md Saman, CEO Feiran Technology, menekankan hujah dan data dalam membuat keputusan
  • Feiran Technology tidak pernah rugi sejak penubuhan dan berperanan dalam transformasi digital industri berat Malaysia
  • Shabudin memulakan minat pada teknologi sejak belajar di MRSM Kulim dan melanjutkan pengajian di Amerika
  • Penubuhan Feiran Technology berawal dari cadangan kerjasama dengan IBM dan Dassault Systèmes.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!