Padah tunjuk samseng guna kayu hoki, lelaki didenda RM2,000

BUKIT MERTAJAM - Seorang kerani operasi pelabuhan didenda RM2,000 di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menimbulkan provokasi dengan mengacukan kayu hoki terhadap seorang pemandu lelaki, minggu lalu.
Majistret Nurul Rashidah Mohd Akit menjatuhkan hukuman tersebut terhadap tertuduh, Mohd Zakhri Ahmad, 44, selepas mendengar pengakuan bersalahnya.
Nurul Rashidah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menimbulkan provokasi terhadap Muhammad Furqan Mohd Fuad, 27, dengan cara mengacukan sebatang kayu hoki bagi mendatangkan kemarahan yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi Jalan Sungai Derhaka di sini kira-kira jam 2.24 petang pada 25 Disember lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Inspektor Percubaan Norfirdaus Azimi Roslan, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Dalam rayuannya, peguam tertuduh memohon agar denda minimum dikenakan berikutan anak guamnya penanggung tunggal keluarga.
"Anak guam saya merupakan bapa kepada enam orang anak dan menyara isteri yang tidak bekerja. Dia bekerja sebagai kerani operasi di Pelabuhan Pulau Pinang dengan pendapatan RM2,500 sebulan.
“Dia juga telah menyesali perbuatannya, memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama pada masa hadapan,” katanya.
Bagaimanapun, Norfirdaus memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan polis membuka dua kertas siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan susulan penularan satu video memaparkan pertengkaran melibatkan dua lelaki tempatan di tepi Jalan Sungai Dahaka, Bukit Tengah, di sini.
Polis mengesan video berkenaan yang tular di media sosial pada 27 Disember lalu sebelum menerima dua laporan polis daripada kedua-dua individu terlibat.
Siasatan awal mendapati kejadian sebenar berlaku pada 25 Disember berpunca daripada salah faham antara dua pemandu yang kemudiannya mencetuskan pertengkaran mulut.
Pertengkaran itu dipercayai telah membawa kepada ugutan jenayah apabila salah seorang lelaki bertindak agresif dengan memegang sebatang kayu hoki.
Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Ringkasan AI
- Seorang kerani operasi pelabuhan didenda RM2,000 kerana mengacukan kayu hoki kepada seorang pemandu
- Tertuduh, Mohd Zakhri Ahmad, 44 tahun, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret
- Gagal bayar denda akan membawa kepada penjara enam bulan
- Kejadian berlaku di tepi Jalan Sungai Derhaka, 25 Disember lalu
- Mohd Zakhri adalah bapa kepada enam anak dan penanggung tunggal keluarganya, berpendapatan RM2,500 sebulan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

