Hospital Bukit Mertajam raih pengiktirafan hospital paling lestari di Asia

BUKIT MERTAJAM - Hospital Bukit Mertajam mencatat sejarah tersendiri apabila diiktiraf sebagai hospital paling lestari di Asia, dengan fasiliti tandas moden, bersih dan mesra alam yang menjadi antara faktor utama kejayaan tersebut.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata, kemudahan tandas di hospital merupakan aspek penting dalam sesebuah institusi kesihatan kerana ia bukan sahaja digunakan pesakit dan kakitangan perubatan, malah turut dimanfaatkan pelawat setiap hari.
Menurutnya, fasiliti tandas di Hospital Bukit Mertajam bukan sahaja bersih dan berkualiti malah mesra untuk digunakan golongan kurang upaya.
"Saya berbangga kerana peruntukan RM200,000 daripada pejabat saya dimanfaatkan sepenuhnya untuk menaik taraf tandas di Hospital Bukit Mertajam.
"Fasiliti ini menjadi komponen utama dalam penilaian yang membawa kepada pengiktirafan hospital paling lestari di rantau Asia," katanya ketika membuat lawatan di Hospital Bukit Mertajam, di sini pada Ahad.
Selain tandas lestari, Steven berkata, Hospital Bukit Mertajam yang telah menjangkau usia 139 tahun juga berjaya melaksanakan inisiatif zero waste dan pelbagai langkah kelestarian lain.
Jelasnya, hospital itu berjaya mengurangkan penggunaan tenaga hampir 11 peratus, bersamaan dengan penanaman 4,000 pokok, di samping menurunkan pelepasan karbon kira-kira 350 tan setahun.
"Pengurangan ini juga memberi impak kewangan yang besar apabila kos operasi berjaya dijimatkan hampir RM250,000 setahun.
"Selain itu, hospital turut menaik taraf sistem komputer di Jabatan Kecemasan bagi mengurangkan penggunaan kertas dan meningkatkan keberkesanan operasi," jelasnya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Steven berkata, kerajaan sedang merancang untuk menaik taraf Hospital Bukit Mertajam bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan keselesaan pengguna.
Jelasnya, pada masa kini wad di hospital berkenaan hanya menampung sebanyak 242 katil dan beliau berharap dengan naik taraf yang dilakukan dapat menggandakan kapasiti katil untuk manfaat penduduk sekitar.
"Hospital ini sudah sesak, termasuk kemudahan parkir yang terhad. Kerajaan negeri telah bersetuju menyediakan tanah tambahan bagi tujuan penaiktarafan.
"Perancangan kini di peringkat reka bentuk dan saya akan membawa perkara ini kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad untuk perbincangan lanjut selain memohon agar projek ini dapat dipercepatkan," ujarnya.
Ringkasan AI
- Hospital Bukit Mertajam diiktiraf sebagai hospital paling lestari di Asia kerana fasiliti tandas moden, bersih dan mesra alam
- Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong, bangga tandas di Hospital Bukit Mertajam telah dinaik taraf dengan peruntukan RM200,000
- Hospital ini melaksanakan inisiatif zero waste dan pengurangan penggunaan tenaga hampir 11% yang turut membawa kepada penjimatan kos operasi hampir RM250,000 setahun
- Selain itu, pengurangan pelepasan karbon sebanyak 350 tan setahun dan menanam 4,000 pokok telah dicapai
- Kerajaan merancang untuk menaik taraf Hospital Bukit Mertajam untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan serta menggandakan kapasiti katil
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

