Dua beranak lepaskan anjing pitbull serang jiran

Anjing itu dilepaskan bagi menyerang jirannya. Foto Agensi
Anjing itu dilepaskan bagi menyerang jirannya. Foto Agensi
A
A
A

HANOI – Seorang lelaki bersama bapanya ditahan pihak berkuasa Vietnam selepas didakwa melepaskan seekor anjing jenis pitbull untuk menyerang seorang jiran dalam satu pertengkaran di ibu negara itu.

Polis Hanoi pada Sabtu memaklumkan, Tran Quoc Luong, 37, dan bapanya, Tran Nhat Hoa, 66, kini disiasat bagi menentukan sama ada tindakan mereka boleh diklasifikasikan sebagai mengganggu ketenteraman awam.

Insiden berkenaan dilaporkan berlaku pada petang 25 Disember lalu di Komun Hong Van, apabila Luong terlibat dalam pertengkaran mulut dengan seorang jiran lelaki berusia 39 tahun.

Keadaan pada awalnya berjaya dileraikan oleh Hoa, namun ketegangan kembali memuncak tidak lama kemudian.

Menurut polis, pertengkaran kedua tercetus apabila Luong melepaskan anjing peliharaannya keluar dari rumah dan sekali lagi bertembung dengan jiran berkenaan bersama isterinya.

Dalam kekecohan itu, Luong didakwa menumbuk muka jiran terbabit beberapa kali.

Pada masa sama, Luong dipercayai mengarahkan anjingnya menyerang, menyebabkan mangsa serta beberapa orang awam lain cedera.

Walaupun orang ramai cuba menghalang, anjing berkenaan terus bertindak agresif sehingga mencetuskan kekecohan di kawasan kejiranan tersebut.

Seorang saksi memaklumkan anjing itu merupakan jenis pitbull seberat lebih 30 kilogram dan bersifat sangat agresif apabila dilepaskan, malah turut menggigit seorang wanita yang berada berhampiran lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan:

Kes berkenaan kini dalam siasatan lanjut pihak polis.-Agensi

Ringkasan AI

  • Seorang lelaki bersama bapanya ditahan kerana melepaskan anjing pitbull serang jiran di Hanoi
  • Kedua-duanya kini disiasat untuk mengganggu ketenteraman awam
  • Pertengkaran berlaku pada 25 Disember di Komun Hong Van, bermula dengan pertengkaran mulut
  • Keadaan memuncak apabila anjing dilepaskan, menyebabkan cedera kepada mangsa dan orang awam
  • Anjing pitbull berat lebih 30 kilogram, bersifat agresif, turut gigit seorang wanita berhampiran lokasi kejadian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!