Kes bunuh dua beranak: Lelaki Bangladesh antara dua lelaki direman tujuh hari

BUKIT MERTAJAM – Dua lelaki termasuk seorang warga Bangladesh direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang wanita dan anak angkatnya di Kampung Sekolah, Juru dalam kejadian yang berlaku pada Sabtu lalu.
Perintah reman terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada Isnin bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Tempoh reman bermula pada Isnin dan akan berakhir pada 26 Oktober ini.
Suspek terdiri daripada seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun dan seorang warga asing berumur 46 tahun.
Kedua-duanya ditahan di dua lokasi berasingan pada Ahad selepas pihak polis menjalankan risikan dan menerima maklumat daripada orang awam.
Difahamkan, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengenali mangsa wanita yang berusia 51 tahun itu.
Polis turut merampas telefon bimbit milik suspek bagi membantu siasatan, selain siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek utama serta motif di sebalik pembunuhan tragis yang meragut nyawa dua beranak tersebut.
Pada Sabtu, seorang peniaga kuih, Sariya Che Hin, dan anak angkatnya, Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, ditemui maut dipercayai dibunuh. Mayat mereka ditemui oleh suami mangsa kira-kira jam 7.30 malam di rumah sewa mereka.
Difahamkan, mayat wanita itu ditemukan di bahagian dapur tingkat bawah rumah berkenaan dalam keadaan menyayat hati dengan kesan kelar pada leher sehingga hampir putus, manakala anaknya ditemui meniarap berlumuran darah di tingkat atas rumah.
Ringkasan AI
- Dua lelaki termasuk seorang warga Bangladesh direman bagi membantu siasatan pembunuhan wanita dan anak angkatnya di Kampung Sekolah, Juru
- Perintah reman dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Bukit Mertajam dan tempoh reman berakhir pada 26 Oktober
- Suspek adalah lelaki tempatan berusia 45 tahun dan warga asing berumur 46 tahun, ditahan di dua lokasi berasingan
- Kedua-dua suspek mengenali mangsa wanita yang berusia 51 tahun, polis merampas telefon bimbit milik suspek bagi siasatan
- Peniaga kuih dan anak angkatnya ditemui maut dengan kesan kelar pada leher dan berlumuran darah di rumah sewa mereka
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

