Kes rasuah, pecah amanah libatkan anggota ATM sejak 2017

SHAH ALAM – Isu integriti dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus menjadi perhatian apabila beberapa kes melibatkan anggota dan pegawai pasukan keselamatan itu yang didakwa terbabit dalam rasuah, pecah amanah serta tuntutan palsu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Walaupun ATM kekal sebagai institusi pertahanan negara yang memainkan peranan penting menjaga kedaulatan dan keselamatan Malaysia, pendedahan kes-kes terpencil ini mencetuskan kebimbangan terhadap tahap ketelusan serta pematuhan prosedur dalam pengurusan kewangan dan perolehan.
Sebahagian besar kes yang pernah dilaporkan berkait rapat dengan urusan perolehan, tuntutan kewangan tidak sah, penggunaan dokumen palsu serta penerimaan suapan melibatkan kontraktor dan pihak berkepentingan tertentu.
Tindakan penguatkuasaan terhadap kes-kes berkenaan melibatkan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), penahanan, pendakwaan di mahkamah serta hukuman denda dan penjara, selain terdapat kes yang berakhir dengan pembebasan tertuduh selepas melalui proses perbicaraan.
Berikut ialah kronologi kes melibatkan anggota dan pegawai ATM yang pernah dilaporkan.
21 Ogos 2025
Seorang veteran ATM didenda RM48,000 oleh mahkamah selepas mengaku bersalah menggunakan dokumen palsu bagi membuat tuntutan elaun melibatkan aktiviti latihan ketenteraan.
21 Januari 2025
Dua anggota tentera berpangkat koperal dan sarjan direman bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu melebihi RM25,000 yang didakwa berlaku di sebuah kem tentera di Johor.
13 Februari 2024
Seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersama seorang pemilik syarikat ditahan SPRM kerana disyaki terlibat dalam kartel perolehan projek di sebuah kem TLDM, termasuk penggunaan dokumen palsu dan tuntutan tidak sah.
22 September 2021
Seorang pegawai ATM berpangkat Leftenan Kolonel didakwa di mahkamah atas pertuduhan rasuah berkaitan kerja-kerja penyelenggaraan dan projek di sebuah kem tentera.
16 Ogos 2022
Seorang pegawai kanan TLDM direman bagi membantu siasatan kes pecah amanah dan salah guna kuasa melibatkan urusan kewangan semasa tempoh perkhidmatannya.
23 November 2020
Seorang pegawai kanan tentera bersama seorang pesara di sebuah akademi latihan ketenteraan didakwa atas pertuduhan pecah amanah membabitkan dana berjumlah kira-kira RM920,000.
19 September 2020
Dua individu termasuk seorang bekas pegawai kanan ATM bergelar Datuk ditahan bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu melibatkan projek naik taraf jalan raya pedalaman di Sarawak.
26 Februari 2020
Seorang bekas pegawai tentera didakwa menerima rasuah berjumlah RM10,000 membabitkan beberapa transaksi suapan berkaitan tugas rasmi.
15 Januari 2020
Seorang bekas pegawai TLDM didakwa menipu berkaitan kontrak pembekalan 80 unit telefon pintar bernilai RM236,000 untuk kegunaan sebuah unit tentera laut.
8 Februari 2019
Seorang pegawai TLDM berpangkat Leftenan ditahan kerana disyaki bersubahat mengemukakan invois dan butiran palsu bagi tuntutan sewaan bas serta perkhidmatan katering sempena latihan menembak.
25 Januari 2019
Seorang anggota TLDM direman bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu berkaitan aktiviti rasmi pasukan.
22 Mei 2017
Dua bekas pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) didakwa menerima rasuah berjumlah RM600,000 berkaitan urusan bayaran tertunggak kontrak, sebelum dilaporkan dibebaskan oleh mahkamah pada tahun 2019.
Ringkasan AI
- Isu integriti dalam Angkatan Tentera Malaysia terus menjadi perhatian akibat kes rasuah, pecah amanah dan tuntutan palsu
- Walaupun ATM adalah institusi pertahanan penting, pendedahan kes terpencil menimbulkan kebimbangan ketelusan dan pematuhan prosedur
- Sebahagian besar kes berkait rapat dengan urusan perolehan dan penerimaan suapan
- Tindakan penguatkuasaan melibatkan siasatan SPRM, pendakwaan dan hukuman denda atau penjara
- Kronologi kes mencatatkan beberapa pendakwaan terhadap anggota dan pegawai ATM dari tahun 2017 hingga 2025
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

