Bekas Ketua Penerangan PVATM tak mengaku salah guna wang syarikat

BUTTERWORTH - Bekas Ketua Penerangan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini atas 12 pertuduhan menyalahguna wang milik sebuah syarikat berjumlah RM405,121.
Tertuduh, Mohd Noor Yacub, 67, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhasmy Abdullah.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan secara tidak jujur menyalahgunakan harta, iaitu wang sejumlah RM415,212 milik Amar Iman Development Sdn Bhd dengan cara memasukkan 12 cek ke dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya.
Kesalahan itu dilakukan antara 19 Januari 2015 hingga 21 Oktober 2015 di Maybank Islamic Berhad, Plaza MWE Branch, Ground Floor Plaza MWE, 8 Lebuh Farquhar, Pulau Pinang.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan sehingga lima tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkiflee manakala tertuduh diwakili Peguam Mohamad Amirrul Adli.
Ketika prosiding, Noor Azura menawarkan jaminan sebanyak RM60,000.
Bagaimanapun, Mohamad Amirrul dalam rayuannya memohon jumlah jaminan minimum dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap, masih mempunyai tanggungan isteri dan bergantung kepada bantuan kewangan anak-anak.
"Tertuduh juga menghidap kencing manis selain baru selesai menjalani pembedahan mata dan perlu menerima rawatan susulan di hospital," katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di pejabat SPRM terdekat sebulan sekali selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 19 November depan untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan seorang pesara tentera ditahan SPRM Pulau Pinang kerana disyaki menerima rasuah berjumlah RM405,000 daripada seorang pemilik syarikat.
Wang rasuah itu diterima sebagai balasan untuk menjual aset PVATM pada harga yang lebih rendah daripada harga pasaran.
Menurut sumber, suspek itu ditahan kira-kira jam 10 pagi pada Isnin ketika hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM Pulau Pinang.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku sekitar tahun 2015 di mana suspek ketika itu memegang jawatan Ketua Penerangan PVATM.
Ringkasan AI
- Bekas Ketua Penerangan PVATM mengaku tidak bersalah atas 12 pertuduhan menyalahguna wang syarikat berjumlah RM405,121
- Didakwa secara tidak jujur memindahkan 12 cek ke dalam akaun peribadinya
- Kesalahan berlaku antara 19 Januari 2015 hingga 21 Oktober 2015
- Di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan, boleh dihukum penjara dan sebatan jika sabit kesalahan
- Jaminan RM50,000 diberikan dengan syarat melapor diri bulanan dan menyerahkan pasport
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

