Kumpulan ekstrem Hindu ganggu sambutan Krismas di India

Penganut Kristian menyambut Krismas di sebuah gereja di Mumbai, India.-Agensi
Penganut Kristian menyambut Krismas di sebuah gereja di Mumbai, India.-Agensi
A
A
A

NEW DELHI – Pertubuhan Kristian dan badan hak asasi manusia memberi amaran susulan tindakan kumpulan ekstrem Hindu yang didakwa menyasarkan komuniti Kristian serta mengganggu sambutan Krismas di beberapa negeri di India.

Persidangan Uskup Katolik India (CBCI) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengecam keras peningkatan ketara serangan bersasar terhadap penganut Kristian di negara majoriti Hindu itu, khususnya sepanjang musim perayaan Krismas.

Menurut CBCI, beberapa insiden direkodkan membabitkan gangguan terhadap penyanyi koir, jemaah gereja dan perhimpunan keagamaan, selain dakwaan vandalisme terhadap gereja, pemusnahan hiasan Krismas serta ugutan terhadap individu yang menyambut perayaan tersebut.

Badan pemantau Kristian, Open Doors, memaklumkan pihaknya merekodkan lebih 60 insiden serangan terhadap penganut Kristian di seluruh India sepanjang tempoh Krismas sahaja.

Satu rakaman video yang tular dari Jabalpur, negeri Madhya Pradesh, memaparkan seorang wanita dikenali sebagai Anju Bhargava, yang didakwa pemimpin tempatan parti pemerintah Bharatiya Janata Party (BJP), bertindak mengganggu serta menyerang seorang wanita Kristian cacat penglihatan yang menghadiri program Krismas.

Rakaman itu mencetuskan kemarahan orang ramai, termasuk parti pembangkang Kongres yang menyifatkannya sebagai tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Susulan itu, cawangan BJP di Jabalpur mengeluarkan notis rasmi kepada Bhargava, menuntut penjelasan berhubung tindakannya.

Bagaimanapun, Bhargava menafikan sebarang salah laku dan mendakwa tindakannya berdasarkan maklumat daripada 'aktivis tempatan' yang kononnya mendakwa wanita cacat penglihatan itu 'melakukan kesalahan'.

Polis setempat pula memaklumkan tiada laporan rasmi diterima berhubung kejadian tersebut.

Artikel Berkaitan:

Dalam satu kejadian lain di Odisha, sekumpulan lelaki didakwa mengganggu peniaga jalanan yang menjual topi Santa, dengan alasan barangan berunsur Kristian tidak wajar dijual di negara yang didakwa mereka sebagai 'negara Hindu'.

Di ibu negara New Delhi pula, satu video menunjukkan individu yang dikaitkan dengan kumpulan ekstrem Hindu, Bajrang Dal, mengganggu wanita yang memakai topi Santa, selain menuduh mereka cuba mempengaruhi orang ramai untuk memeluk agama Kristian.

Open Doors berkata, insiden-insiden tersebut telah meningkatkan rasa takut dan tidak selamat dalam kalangan penganut Kristian yang hanya ingin menyambut perayaan Krismas secara aman.

Pertubuhan itu turut melaporkan beberapa kumpulan ekstrem Hindu mengganggu sambutan Krismas di negeri Haryana dengan mendakwa perayaan itu digunakan sebagai medium untuk mempengaruhi penganut agama lain.

CBCI memaklumkan pihaknya telah menggesa Menteri Dalam Negeri India, Amit Shah, supaya memastikan penguatkuasaan undang-undang yang tegas dan perlindungan proaktif terhadap komuniti Kristian bagi menjamin kebebasan beragama.

“Serangan bersasar terhadap penyanyi koir dan jemaah yang berhimpun secara aman di gereja jelas mencabuli jaminan perlembagaan mengenai kebebasan beragama dan hak untuk beribadat tanpa rasa takut,” menurut kenyataan itu.

Forum Kristian Bersatu (United Christian Forum) mendakwa pihaknya merekodkan lebih 600 insiden serangan terhadap penganut Kristian di India sepanjang tahun ini, termasuk serangan berkumpulan, perobohan rumah dan gangguan ketika upacara keagamaan.

Kristian membentuk kira-kira 2.3 peratus daripada 1.4 bilion penduduk India, menjadikan agama itu yang ketiga terbesar selepas Hindu dan Islam.

Kumpulan Kristian sebelum ini berulang kali mendakwa penganut mereka menjadi sasaran kumpulan ekstrem Hindu yang didakwa mempunyai kaitan dengan parti pemerintah, namun tuduhan tersebut pernah dinafikan oleh BJP. - Agensi

Ringkasan AI

  • Pertubuhan Kristian dan badan hak asasi manusia memberi amaran mengenai serangan terhadap komuniti Kristian di India oleh kumpulan ekstrem Hindu semasa Krismas
  • Persidangan Uskup Katolik India mengutuk serangan bersasar terhadap penganut Kristian, termasuk gangguan terhadap penyanyi koir dan pemusnahan hiasan Krismas
  • Lebih 60 insiden serangan terhadap penganut Kristian direkodkan oleh Open Doors sepanjang tempoh Krismas
  • Video tular memaparkan seorang pemimpin parti BJP mengganggu wanita Kristian cacat penglihatan yang menghadiri program Krismas, mencetuskan kemarahan
  • CBCI menggesa Menteri Dalam Negeri India untuk memastikan penguatkuasaan undang-undang yang tegas dan perlindungan terhadap komuniti Kristian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!