Larangan dekorasi Krismas tertakluk garis panduan pensijilan halal JAKIM

MELAKA – Larangan mempamerkan dekorasi, perkhidmatan atau pengiklanan berbentuk keagamaan di premis serta dapur hotel yang memiliki pensijilan halal bertujuan menjaga sensitiviti semua pihak dan memelihara integriti sijil tersebut.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, semua premis atau produk yang dipersijilkan halal tertakluk kepada Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Menurutnya, ketetapan itu merangkumi larangan mempamerkan sebarang dekorasi, perkhidmatan atau pengiklanan berbentuk keagamaan di dapur serta ruang utama restoran atau premis yang telah memperoleh pensijilan halal.
“Bagi menjaga sensitiviti masyarakat berbilang kaum dan agama, sebarang paparan dekorasi atau simbol berkaitan perayaan keagamaan tidak dibenarkan di dapur dan ruang utama restoran yang bersijil halal.
“Ia bertujuan memastikan kejelasan status halal serta mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengguna,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.
Terdahulu, tular surat yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) berhubung pemakluman dekorasi sempena perayaan Krismas di hotel dan premis makanan yang dipersijilkan halal di Melaka.
Menerusi surat itu, Mesyuarat Panel Pengesahan Halal Melaka yang bersidang pada 31 Oktober lalu sebulat suara bersetuju bahawa hiasan sambutan perayaan tersebut tidak dibenarkan di dapur atau outlet hotel yang dipersijilkan halal kerana ia merupakan perayaan keagamaan dan bukan kebudayaan.
Bagaimanapun, surat sama menjelaskan tiada halangan kepada pihak pengurusan hotel untuk membuat hiasan di kawasan hotel yang tidak dipersijilkan halal.
Dalam pada itu, Rahmad berkata, larangan berkenaan turut melibatkan sebarang bentuk pengiklanan atau hiasan yang bertentangan dengan prinsip Hukum Syarak, mengandungi unsur tidak sopan, bercanggah dengan moral atau boleh memberi implikasi negatif terhadap Pensijilan Halal Malaysia.
Selain itu katanya, penggunaan pernyataan, lambang, istilah atau nama berunsur keagamaan dan ketuhanan seperti nama ALLAH, makanan sunnah, dewa dan seumpamanya bagi produk atau perkhidmatan juga tidak dibenarkan di premis bersijil halal.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa tiada sebarang larangan terhadap dekorasi perayaan Krismas, Aidilfitri, Deepavali atau perayaan lain di kawasan hotel yang tidak dipersijilkan halal.
“Sebagai contoh, lobi hotel atau kawasan lain yang tidak mempunyai pensijilan halal adalah bebas untuk dihias mengikut kesesuaian, selagi mematuhi undang-undang serta peraturan pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Tambah beliau, pendekatan itu bukan bertujuan menafikan hak mana-mana pihak untuk meraikan perayaan masing-masing, sebaliknya bagi memelihara keharmonian masyarakat majmuk serta integriti pensijilan halal.
“Memiliki sijil halal bukan satu kewajipan, namun apabila memilikinya, mematuhi peraturan pensijilan halal adalah satu kewajipan.
“Saya berharap semua pihak dapat memahami perkara ini dengan jelas dan menghormati garis panduan yang telah ditetapkan demi kepentingan bersama serta tidak menimbulkan isu yang boleh merosakkan keharmonian kehidupan bermasyarakat,” katanya.
Ringkasan AI
- Larangan mempamerkan dekorasi berbentuk keagamaan di premis berpensijilan halal di Melaka untuk menjaga sensitiviti semua pihak
- Semua premis atau produk halal tertakluk kepada Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia 2020 oleh JAKIM
- Pemaparan dekorasi atau simbol berkaitan perayaan keagamaan tidak dibenarkan dalam dapur dan ruang utama restoran bersijil halal
- Tiada halangan untuk membuat hiasan di kawasan hotel yang tidak dipersijilkan halal
- Pendekatan ini bertujuan memelihara keharmonian masyarakat majmuk serta integriti pensijilan halal
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

