JAIPk utamakan pendekatan pemulihan dalam kes rogol libat remaja bawah umur

IPOH - Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mengutamakan pendekatan pemulihan dan pendidikan dalam menangani isu kanak-kanak bawah umur termasuk kes rogol.
Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, pendekatan itu selaras dengan prinsip maslahah dalam Islam yang menekankan keseimbangan antara perlindungan serta penguatkuasaan undang-undang bagi mencegah kemudaratan lebih besar terhadap masa depan kanak-kanak dan remaja.
"JAIPk sentiasa mendahulukan pemulihan, kaunseling dan pendidikan.
"Bagaimanapun, terdapat keperluan untuk melaksanakan penguatkuasaan sebagai sebahagian daripada matlamat pencegahan, selaras dengan prinsip dalam al-Quran berkaitan hukuman bagi kesalahan jenayah yang berfungsi sebagai pencegah," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pendekatan yang dilaksanakan di Kelantan, di mana kes rogol dikenal pasti melibatkan persetujuan bersama antara remaja perempuan berusia 16 tahun ke bawah dengan lelaki akan dirujuk kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) untuk tindakan lanjut di bawah Mahkamah Syariah.
Harith Fadzilah berkata, setakat ini tiada sebarang perbincangan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau kerajaan negeri berhubung kemungkinan penyelarasan prosedur seumpama itu di Perak.
Menurutnya, dari sudut perundangan, Perak tidak memerlukan pindaan undang-undang baharu sekiranya mempertimbangkan pendekatan sama, memandangkan Enakmen Jenayah Syariah Perak sedia ada telah merangkumi peruntukan berkaitan kesalahan yang dilakukan oleh kanak-kanak.
"Dalam Islam, had umur membuat keputusan melakukan kesalahan dinilai secara berbeza berbanding undang-undang sivil iaitu berdasarkan had baligh dan kematangan.
"Namun begitu, pihak lelaki yang terlibat tetap akan dikenakan hukuman sekiranya disabitkan melakukan kesalahan," jelasnya.
Mengulas lanjut beliau berkata, Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 telah memperincikan perbezaan antara kanak-kanak yang belum akil baligh dan sudah baligh, termasuk pengecualian am bagi perbuatan kanak-kanak yang belum akil baligh sebagaimana diperuntukkan di bawah Bab 2 Seksyen 4.
"Mahkamah Syariah akan membuat penilaian dalam perbicaraan bagi menentukan sama ada perbuatan tersebut dilakukan dengan kerelaan tanpa paksaan atau didorong secara salah, mengambil kira tahap kematangan dan keadaan sebenar pihak terlibat," katanya.
Harith Fadzilah turut memaklumkan, hukuman terhadap kanak-kanak dan remaja bawah usia 18 tahun adalah berbeza berbanding orang dewasa, selaras dengan prinsip keadilan dan pemulihan dalam perundangan syariah.
Ujar beliau, Seksyen 128, Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Perak 2004 berkaitan pesalah muda, memberi kuasa kepada mahkamah untuk menggantikan hukuman pemenjaraan dengan teguran, perintah berkelakuan baik atau menyerahkan pesalah kepada ibu bapa atau penjaga dengan syarat tertentu.
"Mahkamah juga boleh mengenakan denda ke atas ibu bapa atau penjaga sekiranya didapati cuai sehingga menyumbang kepada salah laku pesalah muda, selepas peluang untuk didengar dan membela diri diberikan.
"Semua pertimbangan ini untuk memastikan keadilan ditegakkan tanpa mengabaikan kebajikan dan masa depan kanak-kanak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

