Seks bawah umur: Terengganu utamakan pemulihan, pendidikan - Exco

KUALA TERENGGANU – Kes hubungan terlarang melibatkan individu bawah umur di negeri ini akan ditangani berdasarkan kerangka undang-undang sedia ada dengan penekanan terhadap aspek pemulihan, pendidikan dan pencegahan.
Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, perkembangan semasa berhubung tindakan beberapa negeri, termasuk Kelantan, yang merujuk kes hubungan terlarang suka sama suka melibatkan individu bawah umur kepada pihak berkuasa agama dan Mahkamah Syariah dalam perhatian kerajaan negeri.
Menurutnya, bagi negeri Terengganu, semua kes yang melibatkan individu bawah umur akan ditangani mengikut peruntukan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Terengganu) 2001, bukannya semata-mata bersifat menghukum.
"Di bawah Seksyen 2 enakmen tersebut, pesalah muda ditakrifkan sebagai individu berusia lebih daripada 10 tahun dan kurang daripada 16 tahun, dan mereka berada dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Kerajaan Kelantan yang memutuskan perempuan bawah umur terbabit kes rogol melalui hubungan 'suka sama suka' akan dikenakan tindakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK).
Tindakan itu berkuat kuasa Oktober lalu susulan titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, yang meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan JAHEAIK bagi menangani isu berkenaan.
Menurut Muhammad Khalil, Mahkamah Syariah mempunyai budi bicara yang luas sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 128 enakmen sama dalam mengendalikan kes melibatkan pesalah muda.
"Mahkamah boleh melepaskan pesalah muda dengan amaran, mengenakan bon berkelakuan baik atau merujuk mereka ke pusat pemulihan yang bersesuaian," katanya.
Menurut Dr Muhammad Khalil, pendekatan yang diambil Kerajaan Negeri Terengganu adalah selari dengan prinsip maqasid syariah yang menekankan pemeliharaan akhlak, keselamatan dan masa depan generasi muda.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri kini sedang merangka perancangan jangka sederhana dan panjang termasuk cadangan penubuhan pusat pemulihan khusus di Terengganu serta semakan dasar berkaitan had umur perkahwinan.
"Pelaksanaan undang-undang syariah dilaksanakan secara tegas tetapi berhemah demi kesejahteraan masyarakat dan masa depan generasi akan datang.
"Langkah ini bertujuan memastikan perlindungan yang menyeluruh terhadap kanak-kanak dan remaja, selain menangani punca berlakunya gejala sosial dalam kalangan golongan tersebut," katanya.
Ringkasan AI
- Kes hubungan terlarang melibatkan individu bawah umur di Terengganu akan ditangani dengan penekanan terhadap pemulihan, pendidikan dan pencegahan
- Ditangani mengikut Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Terengganu) 2001, dengan penjelasan bahawa pesalah muda adalah individu berusia lebih dari 10 tahun dan kurang dari 16 tahun
- Mahkamah Syariah berkuasa memutuskan hukuman seperti melepaskan dengan amaran, bon berkelakuan baik, atau merujuk ke pusat pemulihan
- Pendekatan ini selari dengan prinsip maqasid syariah untuk pemeliharaan akhlak dan keselamatan generasi muda
- Pelaksanaan undang-undang syariah dilakukan secara tegas tetapi berhemah demi kesejahteraan masyarakat dan perlindungan menyeluruh terhadap kanak-kanak dan remaja
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
