Belum selesai baca, keputusan kes 1MDB babit Najib sambung lepas solat Jumaat

Najib
Najib
A
A
A

PUTRAJAYA – Selepas lebih tiga jam membaca dapatan keputusan empat kes menggunakan kedudukan untuk rasuah dan 21 pengubahan wang haram (AMLA) dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak RM2.3 bilion, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat menangguhkan prosiding pada jam 12.15 tengah hari.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) yang bersidang di Istana Kehakiman di sini menghentikan sementara prosiding, bagi memberi ruang kepada solat Jumaat.

Semasa prosiding, beliau berkata, mahkamah masih memerlukan masa selama satu jam untuk membaca baki keputusan berkenaan.

“Sila aturkan supaya tertuduh dibawa semula ke mahkamah ini dan prosiding bersambung jam 3 petang ini,” katanya.

Pendakwaan dalam kes ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib, Datuk Kamal Baharin Omar, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, Deepa Nair Thevaharan, Nadia Mohd Izhar, Najwa Bistamam, Hazmida Harris Lee dan Siti Aina Rodhiah Shikh Md Saud.

Sementara pembelaan bagi Najib diwakili peguam-peguam antaranya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Datuk Tania Scivetti, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, Muhammad Farhan Muhammad Shafee dan Wan Mohammad Arfan Wan Othman dan Effa Azuin.

Najib, 72, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama antara 2011 hingga 2014 lalu.

Kesalahan didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon Kuala Lumpur, di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac dengan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Artikel Berkaitan:

Bekas Menteri Kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac dengan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

 

 

Ringkasan AI

  • Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan prosiding kes rasuah dan pengubahan wang haram 1MDB RM2.3 bilion selepas lebih tiga jam pembacaan dapatan
  • Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menghentikan sementara prosiding untuk memberi laluan kepada solat Jumaat
  • Mahkamah akan menyambung prosiding pada jam 3 petang selepas rehat
  • Pasukan pendakwaan diketuai oleh Datuk Ahmad Akram Gharib manakala pasukan pembelaan bagi Najib diketuai oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah
  • Najib menghadapi empat pertuduhan rasuah dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan dana 1MDB bernilai RM2.3 bilion

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!