NSW, Australia larang perhimpunan awam selama 2 minggu

Sepanjang tempoh dua minggu itu, perhimpunan awam tidak dibenarkan dan sebarang perhimpunan akan dianggap sebagai dilarang - Foto: Agensi
Sepanjang tempoh dua minggu itu, perhimpunan awam tidak dibenarkan dan sebarang perhimpunan akan dianggap sebagai dilarang - Foto: Agensi
A
A
A

ISTANBUL – Negeri paling ramai penduduk di Australia, New South Wales (NSW), melarang perhimpunan awam selama dua minggu selepas meluluskan undang-undang antiprotes yang kontroversi, termasuk peruntukan yang membenarkan individu diminta menanggalkan penutup muka, lapor Anadolu Ajansi.

Polis NSW berkata, pihaknya kini diberi kuasa untuk mengisytiharkan sementara kawasan awam sebagai “terhad” daripada sebarang perhimpunan selepas parlimen negeri meluluskan undang-undang baharu pada Rabu, susulan kejadian tembakan yang meragut banyak nyawa pada 14 Disember di Bondi Beach, Sydney, ibu negeri New South Wales.

Sepanjang tempoh dua minggu itu, perhimpunan awam tidak dibenarkan dan sebarang perhimpunan akan dianggap sebagai dilarang, menurut kenyataan Polis NSW di laman sesawangnya pada Rabu.

“Kenyataan itu dibuat … selepas mengambil kira undang-undang baharu dan implikasi keselamatan awam susulan protes lanjut selepas serangan pengganas di Bondi,” menurut kenyataan itu.

Pengisytiharan tersebut akan dikaji semula dan boleh dilanjutkan setiap dua minggu sehingga tempoh maksimum tiga bulan. Polis juga boleh mengarahkan individu yang disyaki melakukan jenayah supaya menanggalkan penutup muka bagi tujuan pengecaman, katanya.

Dalam kes berasingan, pihak berkuasa Australia sedang menyiasat satu kejadian melibatkan sebuah kenderaan berhias Hanukkah yang dibaling bom api di tenggara Melbourne pada awal pagi Khamis, Hari Krismas, menurut laporan ABC News.

Dalam insiden tembakan di Bondi Beach yang berlaku semasa acara Hanukkah, 15 orang maut dan 42 lagi cedera. Seorang daripada dua suspek penembak maut, manakala seorang lagi cedera parah.

Di bawah pindaan undang-undang berkaitan keganasan yang diluluskan oleh parlimen NSW, protes besar-besaran akan dihadkan, sekali gus melarang sebarang perhimpunan sehingga 90 hari.

Selain itu, di bawah undang-undang senjata api baharu yang diperkenalkan susulan kejadian tembakan tersebut, pemegang lesen rekreasi hanya dibenarkan memiliki maksimum empat senjata api dan perlu menjalani semakan lesen setiap dua tahun.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, kerajaan negeri NSW berdepan kritikan berhubung pelaksanaan undang-undang baharu itu.

Palestine Action Group Sydney, The Black Caucus dan Jews Against the Occupation ’48 akan memfailkan cabaran perlembagaan terhadap apa yang mereka sifatkan sebagai “undang-undang antiprotes yang drakonian,” menurut kumpulan Palestin itu dalam kenyataan di Facebook pada Selasa.

“Kerajaan (Premier NSW, Chris) Minns mengeksploitasi serangan mengerikan di Bondi untuk menjayakan agenda politik yang menekan perbezaan pendapat politik dan kritikan terhadap Israel serta menyekat kebebasan demokrasi,” menurut kumpulan itu. - Bernama-Anadolu

Ringkasan AI

  • Negeri New South Wales (NSW), Australia melarang perhimpunan awam selama dua minggu setelah undang-undang antiprotes diluluskan
  • Polis NSW diberi kuasa untuk mengisytiharkan kawasan awam sebagai terhad daripada sebarang perhimpunan
  • Pengisytiharan larangan perhimpunan boleh dikaji semula setiap dua minggu hingga maksimum tiga bulan
  • Undang-undang baharu membatasi jumlah senjata api yang boleh dimiliki dan memerlukan semakan lesen setiap dua tahun
  • Kelompok aktivis merancang untuk memfailkan cabaran perlembagaan terhadap undang-undang antiprotes yang disifatkan sebagai drakonian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!