CEO GISBH, isteri, anak Abuya, 19 lain mengaku jadi ahli kumpulan menyalahi undang-undang

KAJANG – [DIKEMAS KINI] Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali dan 21 pemimpin tertinggi perniagaan itu mengaku bersalah pada Jumaat, atas satu pertuduhan pilihan menjadi anggota pertubuhan yang menyalahi undang-undang, lima tahun lalu.
Mereka membuat pengakuan itu di hadapan Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Seri Latifah Mohd Tahar dalam prosiding yang dijalankan di Kompleks Mahkamah Penjara Kajang.
Semua tertuduh tersebut ialah Nasiruddin Mohd Ali, 66, isterinya, Azura Md Yusof, 58, dan anak bekas pengasas Al-Arqam, Mohammad Adib At-Tamimi Asa’ari, 33.
Sementara lapan tertuduh wanita lain ialah Hamimah Yakub, 72, Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 45, Mahani Kasim, 55, Siti Salmiah Ismail, 58, Siti Hajar Ismail, 52, Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 28, Nurul Jannah Idris, 29 dan Nur Jannah Omar, 33.
Seramai 11 tertuduh lelaki pula ialah Hasnan Abd Hamid, 54, Mohd Shukri Mohd Noor, 54, Mokhtar Tajuddin, 61, Shuhaimi Mohamed, 57, Muhammad Afdaluddin Latif, 35, Mohamad Sayuti Omar, 36, Mohd Fazil Md Jasin, 58, Mohd Dhirar Fakhrur Razi, 35, Muhammad Zahid Azhar @ Nadzri, 52, Abu Ubaidah Ahmad Shukri, 35 dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 29.
Mengikut pertuduhan pilihan, mereka didakwa menjadi anggota kumpulan GISBH yang merupakan satu pertubuhan yang menyalahi undang-undang, di sebuah premis di Bandar Country Homes, Rawang antara bulan Oktober 2020 hingga 11 September 2024.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 23 Oktober 2024, mereka didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang masing-masing atas satu pertuduhan asal iaitu menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, sejak 2020 lalu namun ditawarkan pertuduhan pilihan di bawah Akta Pertubuhan 1966 pada prosiding 30 Oktober lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Tiada jaminan diberikan kepada semua tertuduh memandangkan kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.
Prosiding diteruskan dengan hujahan mitigasi untuk mengurangkan hukuman oleh peguam yang mewakili semua tertuduh kemudian sesi pemberatan oleh pihak pendakwaan.
Pada 23 Disember tahun lalu, Mahkamah Sesyen membenarkan kes berkenaan dipindahkan untuk dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Susulan itu, mereka selaku pemohon merayu kepada Mahkamah Tinggi supaya dilepaskan dengan jaminan sehingga kes itu didengar dan diputuskan.
Pada 13 Januari lalu, Hamimah yang juga bekas akauntan GISBH menjadi tertuduh pertama yang dilepaskan dengan jaminan.
Pada 24 Mac lalu, semua tertuduh lelaki gagal dalam permohonan untuk dilepaskan dengan jaminan namun Mahkamah Tinggi membenarkan tertuduh-tertuduh wanita diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan dua penjamin.
Ia termasuk syarat tambahan melapor diri di balai polis berhampiran sekali setiap dua minggu, hadir ke mahkamah pada setiap tarikh yang ditetapkan dan tidak mengganggu mana-mana saksi sepanjang tempoh jaminan.
Ringkasan AI
- CEO GISB Holdings Sdn Bhd dan 21 pemimpin tertinggi mengaku bersalah atas pertuduhan menjadi anggota pertubuhan yang menyalahi undang-undang
- Pengakuan dibuat di Mahkamah Tinggi Shah Alam
- Pertuduhan melibatkan keanggotaan dalam kumpulan GISBH di Bandar Country Homes, Rawang dari Oktober 2020 hingga 11 September 2024
- Tidak diberikan jaminan memandangkan kes di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi
- Pada 24 Mac, tertuduh wanita dibenarkan ikat jamin RM40,000 dengan syarat tambahan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

