'Sudah seminggu air banjir masih bertakung'

Zawiyah bersama cucunya melihat keadaan di kawasan rumah mereka yang masih digenangi air hampir seminggu.
Zawiyah bersama cucunya melihat keadaan di kawasan rumah mereka yang masih digenangi air hampir seminggu.
A
A
A

PEKAN – Sudah seminggu keadaan air banjir di Kampung Temai Tengah di sini masih bertakung dengan paras air sekitar 0.4 meter, sekali gus menjejaskan pergerakan penduduk.

Tinjauan Sinar Harian mendapati beberapa kawasan masih digenangi air banjir, namun penduduk sudah berada di kawasan kediaman masing-masing kerana rumah dibina lebih tinggi, selain mempunyai bot.

Selain rumah penduduk, antara kawasan yang masih terkesan sejak dilanda banjir lebih seminggu lepas ialah Masjid Jamek Mukim Temai dan Sekolah Kebangsaan (SK) Temai.

Beberapa penduduk mengharungi air banjir untuk ke rumah masing-masing di Kampung Temai Tengah pada Rabu.
Beberapa penduduk mengharungi air banjir untuk ke rumah masing-masing di Kampung Temai Tengah pada Rabu.

Penduduk, Zawiyah Harun, 74, berkata, keadaan air banjir bertakung bukan perkara baharu dan sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan penduduk di situ setiap tahun.

“Daripada kecil sudah duduk sini, macam inilah selalu, air (bertakung) tiap-tiap tahun.

"Kadang-kadang banjir ini boleh sampai dua hingga tiga kali setahun. Jadi saya sudah lali,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Temai Tengah di sini pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Kawasan di Kampung Temai Tengah masih digenangi air bertakung setakat tinjauan yang dilakukan Sinar Harian pada Rabu.
Kawasan di Kampung Temai Tengah masih digenangi air bertakung setakat tinjauan yang dilakukan Sinar Harian pada Rabu.

Warga emas itu memberitahu, rumahnya dibina lebih tinggi sekitar 10 tahun lalu oleh Allahyarham suaminya bagi mengelakkan air memasuki kediaman selepas pengalaman tinggal di rumah rendah sebelum ini.

“Kalau dulu rumah rendah, jenuh air asyik masuk dan pernah sampai paras tingkap. Tapi, sejak rumah ini ditinggikan, air belum pernah masuk ke dalam dan kalau air tinggi pun hanya menceceh tangga," katanya yang memaklumkan rumah itu dibina setinggi 2.5 meter.

Dia memberitahu, walaupun rumahnya kini lebih selamat, pergerakan harian tetap terjejas apabila laluan ke kediamannya masih dinaiki air.

“Kalau banjir memang kena naik botlah pergi depan,” ujarnya yang memaklumkan tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Penduduk melalui jalan kampung walaupun air masih bertakung.
Penduduk melalui jalan kampung walaupun air masih bertakung.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Rahman, 44, pula berkata, fenomena air bertakung bukan perkara baharu kerana kawasan terbabit terlalu rendah dan kebanyakan penduduk membina rumah tinggi.

Menurutnya, situasi itu mungkin berlarutan dua tiga hari lagi kerana penurunan air agak perlahan walaupun hujan sudah berhenti.

"Air tidak tinggi, paras betis (anggaran 0.4 meter) sahaja tapi tetap kami kena berhati-hati.

"Kalau hendak keluar beli barang pun kena guna bot, kalau tidak terpaksa harung air ke daratan lebih tinggi," jelas bapa kepada lima anak itu.

Terdapat seramai 140 penduduk yang tinggal di Kampung Temai Tengah, 262 penduduk di Kampung Temai Hulu dan 251 penduduk di Kampung Temai Hilir yang terletak bersebelahan dengan Lembangan Sungai Pahang.

Difahamkan, mangsa banjir di daerah ini sudah dibenarkan pulang dan semua PPS sudah ditutup.

Ringkasan AI

  • Keadaan air banjir di Kampung Temai Tengah masih bertakung dengan paras air sekitar 0.4 meter selepas seminggu dilanda banjir
  • Penduduk kampung berada di kediaman masing-masing yang dibina lebih tinggi dan mempunyai bot
  • Masjid Jamek Mukim Temai dan Sekolah Kebangsaan (SK) Temai termasuk dalam kawasan yang terkesan akibat banjir
  • Zawiyah Harun, penduduk tempatan, menyatakan keadaan banjir bertakung sudah menjadi kebiasaan tahunan
  • Rumah penduduk dibina lebih tinggi untuk menghindari air banjir, memungkinkan penghuni tidak perlu berpindah ke pusat pemindahan sementara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!