Shopee, FAMA labur RM210,000 galak pertumbuhan digital usahawan tani luar bandar

Ketua Hal Ehwal Korporat Shopee Malaysia, Nadia Anwar (kiri) dan Pengarah Kanan Bahagian Keusahawanan Pemasar FAMA, Siti Nurul Haida Ibrahim, menyampaikan Anugerah Khas kategori Bintang Daya Juang kepada Mansur Remely, usahawan produk pertanian organik sempena Majlis Penganugerahan FAMART di ibu pejabat Shopee Malaysia baru-baru ini.
Ketua Hal Ehwal Korporat Shopee Malaysia, Nadia Anwar (kiri) dan Pengarah Kanan Bahagian Keusahawanan Pemasar FAMA, Siti Nurul Haida Ibrahim, menyampaikan Anugerah Khas kategori Bintang Daya Juang kepada Mansur Remely, usahawan produk pertanian organik sempena Majlis Penganugerahan FAMART di ibu pejabat Shopee Malaysia baru-baru ini.
A
A
A

KERJASAMA strategik Shopee Malaysia, platform e-dagang terkemuka di Asia Tenggara, Taiwan serta Brazil dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyaksikan pelaburan berjumlah RM210,000 bagi mengukuhkan keupayaan digital Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) luar bandar serta mempercepatkan transformasi digital sektor agromakanan Malaysia.

Menerusi program pembangunan keusahawanan FAMART+ yang dilancarkan pada Jun 2025, inisiatif nasional selama enam bulan itu membimbing 100 usahawan tani daripada pelbagai latar belakang termasuk usahawan yang baharu menceburi e-dagang, usahawan OKU, suri rumah, pelajar dan pengeluar tradisional luar bandar melalui satu perjalanan pembangunan digital berstruktur.

Sepanjang program, Shopee dan FAMA melabur sebanyak RM210,000 dalam bentuk baucar kedai, kredit pengiklanan dan insentif siaran langsung bagi meningkatkan pendedahan serta prestasi komersial peserta.

Lebih 400 produk agromakanan berjaya disenaraikan di Shopee, membolehkan pengeluar luar bandar menembusi pasaran nasional dan menjangkau pengguna di luar kawasan mereka.

Peserta turut dipromosikan melalui laman mikro Shopee Rai Lokal, notifikasi aplikasi dan komunikasi elektronik bersasar sekali gus meningkatkan produk mereka di seluruh negara.

Pengarah Kanan Bahagian Keusahawanan Pemasar FAMA, Siti Nurul Haida Ibrahim berkata, FAMART+ membuktikan potensi sebenar boleh dicapai apabila usahawan tani diberikan struktur, latihan serta keyakinan untuk bersaing dalam ekonomi digital.

“Kami menyaksikan sendiri pengeluar luar bandar beralih daripada pengusaha tradisional kepada usahawan digital mampu menembusi pasaran nasional. Transformasi ini bukan sahaja meningkatkan taraf komuniti setempat, tetapi turut mengukuhkan masa depan ekosistem agromakanan negara.

“FAMA komited untuk bekerjasama dengan Shopee bagi memperluaskan model ini supaya setiap usahawan tani Malaysia, tanpa mengira latar belakang, dapat berkembang dalam pasaran moden berteraskan teknologi,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Hal Ehwal Luar Shopee Malaysia, Nik Emir Din menegaskan komitmen jangka panjang Shopee terhadap pembangunan ekonomi digital negara.

Artikel Berkaitan:

“Apa yang dicapai melalui FAMART+ hanyalah permulaan bagi perjalanan yang lebih besar. Seiring dengan pertumbuhan ekonomi digital Malaysia, kita ingin memastikan bahawa usahawan luar bandar turut terlibat dalam menikmati peluang baharu.

“Shopee akan terus menyediakan latihan, inovasi dan penambahbaikan platform bagi membantu mereka membina perniagaan yang kukuh serta bersedia menghadapi masa hadapan.

“Matlamat kami adalah untuk mewujudkan ekosistem digital di mana setiap pengeluar tempatan boleh menjangkau pelanggan di seluruh negara dan meningkatkan daya saing melalui teknologi digital,” katanya.

Tambah beliau, Shopee amat menghargai kerjasama erat FAMA sepanjang pelaksanaan program ini.

“Kerjasama awam-swasta seperti ini membuktikan bagaimana usaha bersama mampu membawa perubahan bermakna kepada komuniti luar bandar. Kami berhasrat mewujudkan lebih banyak peluang digital untuk usahawan tani di seluruh negara,” katanya.

Dalam pada itu, majlis penutupan program yang berlangsung baru-baru ini meraikan kejayaan 20 usahawan tani cemerlang diiktiraf dalam enam kategori anugerah termasuk Bintang Baharu Agri Shopee, Ikon Agri Shopee, Inspirasi Agri Shopee, Ikon Agri (Makanan) Shopee, Ikon Agri (Bukan Makanan) Shopee and Usahawan-Usahawan Terbaik FAMART+.

Menariknya, inisiatif ini merupakan kesinambungan kerjasama strategik antara Shopee dan FAMA yang telah berlangsung selama empat tahun bermula dengan eFAMAPLACE 1.0 pada tahun 2021 yang tertumpu kepada pengambilan usahawan tani ke platform digital.

Program ini telah berjaya membawa lebih 1,500 usahawan ke dalam e-dagang serta merealisasikan jualan durian digital berskala besar yang pertama di Malaysia.

Berikutnya pada tahun 2022, eFAMAPLACE 2.0 memperluaskan impak tersebut dengan menyokong lebih 2,800 usahawan yang menyenaraikan 180,000 produk agromakanan, menjana jualan RM6 juta dan mencatat pulangan pelaburan melebihi 13 kali ganda.

Seterusnya pada tahun 2024, Shopee memperkenalkan Kempen Tani yang memanfaatkan jualan secara siaran langsung atau livestream, melibatkan ribuan petani dan berjaya menarik lebih 112,000 tontonan di seluruh negara sekali gus meningkatkan penglibatan digital dan pendedahan produk tempatan.

Menjelang penutup FAMART+, Shopee dan FAMA menegaskan komitmen berterusan untuk memperluas keterangkuman akses digital dalam kalangan komuniti luar bandar.

Ringkasan AI

  • Shopee Malaysia dan FAMA melabur RM210,000 untuk memperkuatkan PMKS luar bandar dan mempercepatkan transformasi digital sektor agromakanan Malaysia
  • Program pembangunan keusahawanan FAMART+ membantu 100 usahawan tani dalam pembangunan digital selama enam bulan
  • Lebih 400 produk agromakanan berjaya disenaraikan di Shopee, memperluas pasaran nasional untuk pengeluar luar bandar
  • Peserta program dipromosikan melalui laman mikro Shopee Rai Lokal dan pelbagai saluran komunikasi
  • Inisiatif ini adalah kesinambungan kerjasama Shopee dan FAMA, berjaya mendigitalisasikan lebih 1,500 usahawan tani dan memperluas impak e-dagang agromakanan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!