Lesap wang simpanan akibat terpedaya janji manis

IMPIAN untuk hidup selesa bertukar mimpi ngeri apabila wang persaraan hasil titik peluh bertahun-tahun hilang diperdaya sindiket penipuan pelaburan yang licik dan tidak berperikemanusiaan.
Perkembangan teknologi digital membuka ruang luas kepada sindiket untuk memperdaya mangsa dengan lebih mudah dan pantas.
Media sosial menjadi platform utama mempromosikan skim penipuan pelaburan yang menawarkan janji pulangan lumayan dalam tempoh singkat tanpa risiko atau dengan risiko yang kononnya 'dijamin'.
Selain itu, modus operandi biasanya melibatkan laman web palsu atau aplikasi pelaburan tiruan, paparan gaya hidup mewah, testimoni kejayaan dan penggunaan istilah kewangan yang mengelirukan dijadikan umpan.
Lebih membimbangkan, ada sindiket sanggup menyamar sebagai wakil syarikat sah atau menggunakan identiti individu berpengaruh bagi meraih kepercayaan.
Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman merekodkan sebanyak 9,296 kes jenayah penipuan tidak wujud dengan nilai kerugian RM1.37 bilion sejak Januari hingga November lalu.
Faktor utama yang menjadikan jenayah penipuan pelaburan terus meningkat ialah tekanan ekonomi dan kurangnya kefahaman kewangan dalam kalangan masyarakat.
Keinginan mangsa untuk menambah pendapatan, menampung kos sara hidup sering dieksploitasi sindiket tanpa rasa bersalah.
Mangsa bukan sahaja terdiri daripada golongan berpendapatan rendah, malah profesional, penjawat awam dan pesara turut terperangkap akibat terlalu yakin atau terpengaruh dengan pujukan sindiket.
Kesan jenayah penipuan pelaburan tidak terhenti pada kerugian wang semata-mata. Segelintir mangsa berdepan tekanan emosi, kemurungan dan konflik keluarga selepas kehilangan wang simpanan.
Ada mangsa yang terpaksa menanggung hutang akibat membuat pinjaman bagi menyertai skim pelaburan.
Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara Malaysia sebelum ini mengingatkan orang ramai agar berhati-hati terhadap skim penipuan pelaburan yang dipromosikan dalam talian.
Orang ramai dinasihatkan membuat deposit atau melabur dengan pihak yang dilesenkan oleh pihak berkuasa agar mereka boleh mendapat perlindungan di bawah undang-undang perbankan dan sekuriti.
Pengendali pelaburan tidak berlesen boleh menghilangkan diri dengan meninggalkan pelabur tanpa keupayaan untuk mendapatkan semula wang pelaburan mereka atau membuat tuntutan terhadap mana-mana individu yang terbabit dengan skim tersebut.
Adalah penting orang ramai berwaspada dan bertanggungjawab dalam membuat keputusan pelaburan.
Orang ramai hendaklah menyemak dengan Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti atau pihak berkuasa mengenai status syarikat tempatan dan asing sebelum mendepositkan wang untuk pelaburan.
Jangan terburu-buru membuat pelaburan hanya kerana terpengaruh dengan testimoni atau janji keuntungan besar. Luangkan masa untuk memahami sepenuhnya bagaimana pelaburan itu berfungsi, siapa yang mengendalikannya dan apakah risikonya.
Kesimpulannya, pelabur yang bijak memerlukan penilaian teliti. Sekiranya terdapat sebarang keraguan, lebih baik berundur daripada mengambil risiko yang akhirnya merugikan. Lindungi diri dan wang anda daripada menjadi mangsa penipuan.
*Ahmad Ismadi Ismail ialah wartawan Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
