Taktik penipuan semakin berkembang, licik, remaja jadi sasaran

Taktik penipuan telah berkembang secara drastik dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, kini menggunakan media sosial dan AI untuk melaksanakan taktik baharu dengan menjadikan remaja sebagai sasaran utama. Gambar hiasan (Gambar kecil: Siraj)
Taktik penipuan telah berkembang secara drastik dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, kini menggunakan media sosial dan AI untuk melaksanakan taktik baharu dengan menjadikan remaja sebagai sasaran utama. Gambar hiasan (Gambar kecil: Siraj)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sindiket penipuan di Malaysia kini menggunakan media sosial dan kecerdasan buatan (AI) untuk melaksanakan taktik baharu yang menggabungkan eksploitasi seksual kanak-kanak, peras ugut dan penjualan kandungan haram dengan menjadikan remaja sebagai sasaran utama.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, taktik penipuan telah berkembang secara drastik dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, daripada taktik lama seperti penipuan Macau, penipuan cinta dan penipuan penghantaran bungkusan kepada penipuan kompleks yang menggabungkan pelbagai modus operandi dalam satu kes.

“Kes penipuan yang pernah kami terima adalah apabila penipu menggabungkan tiga jenis jenayah siber dan menyasarkan remaja sebagai mangsa, bermula dengan tawaran perkhidmatan ‘sugar mummy’ di platform seperti TikTok untuk menarik mangsa.

“Setelah mangsa menerima tawaran itu, mereka akan diminta berkongsi kandungan peribadi yang dikategorikan sebagai Bahan Penderaan Seksual Kanak-Kanak (C-SET) sebelum diperas ugut untuk membayar wang tebusan bernilai ribuan ringgit jika tidak mahu kandungan tersebut tersebar,” kata Siraj semasa menjadi tetamu di Bernama Radio, di sini, hari ini.

Beliau berkata, walaupun wang tebusan dibayar, sindiket tetap menjual bahan kompromi tersebut di platform sembang seperti Telegram kepada komuniti pedofilia.

Siraj turut memberi amaran mengenai risiko baharu kepada peniaga media sosial yang boleh menjadi mangsa tuduhan sebagai penipu akibat manipulasi sindiket.

“Sebagai contoh, penipu meniru iklan peniaga sah untuk memperdayakan pembeli. Setelah memperoleh maklumat peribadi pembeli, mereka menggunakannya pula untuk menipu peniaga berkenaan.

“Apabila pembeli selesai membuat pembayaran, peniaga yang tidak mengesyaki apa-apa akan menghantar barang kepada penipu. Akibatnya, pembeli yang berasa tertipu membuat laporan polis dan akaun peniaga sebenar dibekukan kerana disyaki sebagai penipu,” jelasnya.

Beliau berkata, penipuan moden kini semakin canggih dengan penggunaan AI untuk mencipta kandungan palsu yang kelihatan sahih, eksploitasi data peribadi yang bocor daripada syarikat teknologi besar seperti Meta, selain penggunaan teknik kejuruteraan sosial untuk mengkaji tingkah laku mangsa.

Artikel Berkaitan:

Bagi menangani ancaman itu, Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) telah dinaik taraf untuk beroperasi 24 jam dengan skop kerja meliputi pelbagai jenayah siber.

Siraj menekankan peranan penting ibu bapa dalam memantau aktiviti dalam talian anak-anak dan meningkatkan literasi digital. Beliau juga menggesa kerajaan menyediakan modul pendidikan AI untuk orang awam.

Orang ramai yang menghadapi isu jenayah siber boleh mendapatkan bantuan menerusi laman web MCCA di cyberconsumer.my.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!