Mampukah kerajaan berbeza ideologi bertahan lama

Banyak negara demokrasi matang beroperasi melalui kerajaan campuran, malah ada yang bertahan lebih lama berbanding kerajaan satu parti. Gambar hiasan
Banyak negara demokrasi matang beroperasi melalui kerajaan campuran, malah ada yang bertahan lebih lama berbanding kerajaan satu parti. Gambar hiasan
A
A
A

PERSOALAN sama ada kerajaan yang dibentuk oleh parti-parti politik berlainan ideologi mampu bertahan bukanlah baharu.

Setiap kali wujud gabungan yang tidak sekepala, kebimbangan rakyat hampir sama iaitu kerajaan yang dibentuk akan rapuh kerana pemimpin asyik berperang mulut, sukar buat keputusan dan akhirnya rakyat menjadi mangsa.

Secara logiknya, hujah itu ada asas. Parti politik diwujudkan atas ideologi dan kepentingan yang berbeza. Ada yang menekankan agama, ada yang mengutamakan kaum tertentu dan ada yang berpaksikan keadilan sosial. Apabila semua ini disatukan di bawah satu bumbung kerajaan, perbezaan pandangan hampir pasti berlaku.

Namun sejarah politik dunia menunjukkan kerajaan gabungan bukan sesuatu yang luar biasa. Banyak negara demokrasi matang beroperasi melalui kerajaan campuran, malah ada yang bertahan lebih lama berbanding kerajaan satu parti.

Kuncinya bukan pada keseragaman ideologi, tetapi kepada nakhoda kapal, disiplin kuasa dan kesediaan untuk berkompromi.

Masalah sebenar timbul apabila perbezaan pendapat dibawa ke ruang awam tanpa kawalan. Perang mulut antara pemimpin mungkin menguntungkan dari sudut politik jangka pendek, tetapi melemahkan keyakinan rakyat dan pelabur.

Dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, kerajaan yang kelihatan berpecah akan dilihat gagal memberi hala tuju jelas.

Kerajaan berbeza ideologi juga sering terperangkap antara tuntutan prinsip yang dibayangi desakan penyokong dan keperluan pentadbiran.

Jika terlalu berkeras mempertahankan ideologi sendiri, keputusan menjadi perlahan. Jika terlalu banyak berkompromi, penyokong pula merasa dikhianati.

Artikel Berkaitan:

Maka, seni mentadbir kerajaan gabungan adalah mencari titik tengah yang cukup untuk negara bergerak ke hadapan, tanpa memadam identiti parti masing-masing.

Namun, ada juga yang berpandangan, kelancaran kerajaan bukan ditentukan oleh sama atau berbezanya ideologi, tetapi keikhlasan dan menjadikan rakyat sebagai keutamaan untuk dibantu dan dibela.

Jika semua pihak sepakat bahawa isu rakyat dan kestabilan negara mengatasi kepentingan parti, kerajaan masih boleh berfungsi dengan baik walaupun berbeza warna bendera.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!