Rumah rakit 'berjasa' setiap kali banjir

KUANTAN – Rumah rakit yang dibina seorang pesara selepas banjir besar empat tahun lalu menjadi penyelamat pelbagai barangan rumah daripada musnah setiap kali musim tengkujuh.
Husain Mohamad, 57, berkata, idea membina rumah rakit seluas 36 meter persegi timbul hasil cadangan rakannya selepas melihat dia menanggung kerugian belasan ribu ringgit akibat banjir.
Berbekalkan modal RM7,000, bapa kepada empat anak itu menggunakan 18 tong plastik biru dan struktur besi kukuh supaya rumah rakit terapung secara automatik ketika air naik.

"Rumah rakit ini hanya digunakan untuk menyimpan barangan rumah seperti perabot, peralatan elektrik dan sebagainya.
“Sudah tiga tahun rumah rakit ini berjasa... Setiap kali air naik, semua barang selamat. Sejak siap, tidak pernah saya tambah apa-apa pun dan ia masih kukuh,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kampung Telok Mahang berhampiran Sungai Belat, di sini pada Rabu.

Husain memberitahu, rumah rakit disiapkan dalam tempoh seminggu tanpa bantuan pihak luar, kecuali pertolongan anaknya ketika proses pemasangan.
Dia turut memanfaatkan pengalaman sebelum ini termasuk kerja berkaitan pembinaan dan pertukangan, bagi menyiapkan rumah rakit yang kekal sehingga kini.

Husain menambah, sejak rumah rakit itu siap, ada kenalan meminta supaya rumah rakit serupa dibina di kawasan rumah mereka.
“Permintaan itu ada untuk buat rumah rakit sebiji macam ini untuk dia, tapi buat masa ini saya belum sempat lagi,” ceritanya.

Dalam pada itu, Husain berkata, walaupun rumahnya antara kawasan awal dinaiki air, namun kewujudan rumah rakit itu cukup melegakan.
“Sekarang ini saya tidak bimbang sangat, cuma risau kalau hujan lebat waktu pasang besar sebab rumah pam sini kadang-kadang tidak mampu sedut air keluar.

"Cuma kalau berlaku apa-apa pun, kita tetap bersedia dan rumah rakit ini penyelamat saya,” katanya.
Ringkasan AI
- Rumah rakit dibina seorang pesara selepas banjir besar empat tahun lalu untuk menyelamatkan barangan rumah
- Dibina dengan modal RM7,000 menggunakan 18 tong plastik biru dan struktur besi, rumah rakit terapung secara automatik ketika air naik
- Rumah rakit digunakan untuk menyimpan perabot, peralatan elektrik dan sebagainya menjadikan ia penyelamat barangan ketika musim tengkujuh
- Husain Mohamad, pemilik rumah rakit memberitahu, projek itu siap dalam tempoh seminggu dengan bantuan anak dan pengalaman kerjanya dalam pembinaan
- Wujud permintaan daripada kenalan untuk membina rumah rakit serupa, menunjukkan keberkesanan sebagai penyelesaian masalah banjir
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

