Ambil semula mimbar disedekah selepas tewas pemilihan ketua Rukun Tetangga

Penduduk menilai tindakan AMR sebagai satu bentuk ‘teguran sosial’ dan memutuskan untuk tidak membuat laporan polis berhubung insiden itu. Foto Agensi
Penduduk menilai tindakan AMR sebagai satu bentuk ‘teguran sosial’ dan memutuskan untuk tidak membuat laporan polis berhubung insiden itu. Foto Agensi
A
A
A

KENDARI - Seorang penduduk di Kelurahan Kambu, Kota Kendari, Sulawesi Tenggara, menjadi tular di media sosial selepas bertindak mengambil semula mimbar Masjid Miftahul Ilmi yang pernah disumbangkannya, hanya sehari selepas tewas dalam pemilihan Ketua Rukun Tetangga (RT) 17.

Lelaki dikenali sebagai AMR itu dilaporkan membawa keluar mimbar berkenaan bersama dua rakannya pada pagi Ahad lalu, sehari selepas pemilihan yang diadakan pada Sabtu.

Ketua Mukim Kambu, Harisman berkata, pemilihan Ketua RT 17 membabitkan dua calon iaitu AMR dan penyandang jawatan yang bertanding semula untuk mengekalkan kedudukan.

Hasil pengiraan undi menunjukkan AMR hanya memperoleh sembilan undi, manakala calon sedia ada menang dengan 42 undi.

“Sehari selepas pemilihan dan AMR tidak terpilih, pada keesokan paginya dia membawa keluar mimbar dari masjid.

"Kemudian mimbar itu dibuang di pokok pisang yang berada dalam kawasan masjid,” kata Harisman.

Susulan kejadian itu, penduduk setempat mengadakan perbincangan dan bersetuju untuk menggantikan mimbar berkenaan secara sukarela.

Pada petang hari yang sama, mimbar baharu daripada kayu jepara telah dipasang semula di Masjid Miftahul Ilmi.

Harisman berkata, penduduk menilai tindakan AMR sebagai satu bentuk ‘teguran sosial’ dan memutuskan untuk tidak membuat laporan polis berhubung insiden itu.

Artikel Berkaitan:

Insiden tersebut mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial, termasuk perbincangan mengenai adab, etika pemberian sumbangan kepada institusi agama, serta hubungan kekeluargaan dan komuniti. -Agensi

Ringkasan AI

  • Seorang penduduk di Kelurahan Kambu, Kota Kendari, mengambil semula mimbar Masjid yang disumbangkannya selepas tewas dalam pemilihan Ketua RT
  • Lelaki tersebut membawa keluar mimbar bersama dua rakannya sehari selepas pemilihan
  • AMR, calon yang kalah, hanya memperoleh sembilan undi berbanding 42 undi untuk calon sedia ada
  • Mimbar tersebut dibuang di pokok pisang dalam kawasan masjid
  • Penduduk setempat menggantikan mimbar itu dengan mimbar baru daripada kayu jepara pada hari yang sama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!