Ekonomi Israel di ambang keruntuhan akibat beban perang Gaza

Keadaan ekonomi Israel kini berada ditahap tidak baik.-Agensi
Keadaan ekonomi Israel kini berada ditahap tidak baik.-Agensi
A
A
A

ISTANBUL – Ekonomi Israel kini berada di ambang kemerosotan serius susulan kempen ketenteraan berterusan, apabila kegagalan perniagaan melonjak dan kekurangan tenaga kerja kritikal semakin parah akibat mobilisasi besar-besaran tentera simpanan.

Krisis yang semakin memuncak sejak serangan pada 7 Oktober 2023 itu turut menjejaskan kemasukan pelabur asing, sekali gus mendedahkan kelemahan struktur mendalam dalam model ekonomi negara berkenaan.

Penggerakan kira-kira 300,000 anggota tentera simpanan ke medan Gaza dan Lubnan telah melumpuhkan sektor utama termasuk pembinaan, teknologi dan perkhidmatan.

Pengurangan tenaga kerja secara mendadak itu mendorong peningkatan kos buruh dan gangguan rantaian bekalan, sekali gus mencetuskan gelombang kebankrapan.

Ahli ekonomi Palestin, Abdurrahman Migdad, dalam temu bual bersama akhbar Turkiye Yeni Şafak, berkata, penarikan keluar ratusan ribu pekerja daripada pasaran buruh telah menyebabkan penyusutan tenaga kerja yang teruk.

“Dalam keadaan ribuan penduduk sudah meninggalkan negara ini, pengunduran lebih 300,000 anggota simpanan daripada pasaran buruh telah mengakibatkan pengecutan tenaga kerja yang sangat serius,” katanya.

Menurut beliau, tanpa sokongan kewangan tanpa had daripada Amerika Syarikat dan Eropah, ekonomi Israel berkemungkinan besar sudah runtuh hanya akibat tekanan boikot antarabangsa.

Perang itu turut mengakibatkan defisit belanjawan negara mencapai paras tertinggi dalam sejarah, didorong perbelanjaan besar terhadap industri ketenteraan, pengeluaran senjata dan perolehan pertahanan.

Dalam masa yang sama, pelaburan langsung asing merosot dengan ketara apabila syarikat global semakin berhati-hati.

Artikel Berkaitan:

Laporan menunjukkan sebahagian firma kini mewajibkan rakaman mesyuarat dalam talian dengan entiti Israel disimpan dan dipadamkan bagi mengelakkan reaksi negatif orang awam, mencerminkan kerosakan reputasi yang serius.

Kemelut ekonomi itu diperburuk oleh perubahan demografi besar-besaran. Hampir setengah juta warga Israel dilaporkan meninggalkan wilayah yang diduduki, dengan kawasan sempadan utara dan selatan sebahagian besarnya kosong.

Migdad menyifatkan perkembangan itu sebagai krisis utama yang menjejaskan rasa keselamatan dan kestabilan jangka panjang negara tersebut.

Penghijrahan usahawan teknologi serta tenaga mahir pula melemahkan lagi ekonomi yang sangat bergantung kepada sektor teknologi tinggi.

Pakar berpandangan perang itu bertindak sebagai pemangkin yang mendedahkan kelemahan sedia ada dalam struktur ekonomi Israel.

Infrastruktur sektor awam dan swasta, termasuk teknologi, pelancongan dan pembinaan, dilaporkan semakin merosot.

Mata wang shekel Israel turut berdepan tekanan penyusutan nilai yang ketara, dan hanya dapat distabilkan sebahagiannya melalui sokongan luaran.

Secara keseluruhan, penganalisis menggambarkan keadaan ekonomi negara itu hampir lumpuh sepenuhnya, dengan konflik berpanjangan terus menekan daya tahan ekonomi Israel.-Agensi

Ringkasan AI

  • Ekonomi Israel hampir merosot serius sejak serangan 7 Oktober 2023, dengan kegagalan perniagaan meningkat dan kekurangan tenaga kerja akibat mobilisasi tentera simpanan
  • Krisis ekonomi mempengaruhi pelaburan asing dan menonjolkan kelemahan dalam model ekonomi negara
  • Sekitar 300,000 anggota tentera simpanan dikerahkan menyebabkan lumpuhnya sektor pembinaan, teknologi, dan perkhidmatan
  • Perang menyebabkan defisit belanjawan Israel mencapai paras tertinggi dan pelaburan langsung asing menurun
  • Hampir setengah juta warga Israel meninggalkan negara, memperburuk krisis ekonomi dan demografi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!