Sindrom Goliath: Dunia di ambang keruntuhan

Kejatuhan tamadun masih boleh dielakkan dengan menilai semula makna kemajuan berpandukan wahyu dan sunnah

KEKUATAN sebenar tamadun bukan pada temboknya, tetapi pada hati manusia yang jujur dan berakhlak. Foto Canva/Gambar kecil: DR ZAIZUL
KEKUATAN sebenar tamadun bukan pada temboknya, tetapi pada hati manusia yang jujur dan berakhlak. Foto Canva/Gambar kecil: DR ZAIZUL
A
A
A

ADA sesuatu yang sedang retak dalam dunia kita, ia bukanlah di kerak bumi tetapi di dasar hati manusia.

Ketika langit masih biru dan kota masih bercahaya, kita terlupa bahawa di bawah kilauan itu, tamadun sedang reput perlahan-lahan.

Saintis Universiti Cambridge, Dr. Luke Kemp, memberi amaran dalam bukunya, Goliath’s Curse bahawa dunia sedang menuju ke arah kehancuran dan tanda-tandanya sudah bermula.

Beliau meneliti lebih 400 tamadun sepanjang 5,000 tahun sejarah manusia, dari Mesir purba hingga dunia moden.

Polanya mengejutkan iaitu setiap kali kuasa dan kekayaan tertumpu di tangan segelintir elit, setiap kali nilai dan kejujuran dijual demi keuntungan, sejarah menulis ayat terakhirnya iaitu kejatuhan demi kejatuhan.

Beliau menamakan fenomena itu “Sindrom Goliath” yang merujuk kepada tamadun yang terlalu besar, terlalu angkuh dan akhirnya rebah oleh beban ciptaannya sendiri.

Tamadun sebegini seperti raksasa yang dibina oleh tangan sendiri yang megah di luar tetapi rapuh di dalam.

Tanda dunia menuju kehancuran

Kemp mengenal pasti tiga amaran besar yang kini sedang berlaku di depan mata:

Artikel Berkaitan:

1 - Jurang kekayaan global yang semakin melebar antara segelintir kaya dan majoriti miskin. Kekayaan dunia kini dikuasai oleh kurang daripada satu peratus populasi, sedangkan jutaan orang tidur dalam kelaparan.

2 - Penguasaan teknologi oleh korporat besar yang menelan kebebasan manusia. Media sosial kini bukan medan perkongsian ilmu, tetapi gelanggang manipulasi emosi dan ekonomi.

3 - Krisis iklim yang parah di mana tanah menjadi gersang, laut menjadi marah dan udara menjadi racun. Alam yang dulunya sahabat kini menuntut keadilan.

PEMIMPIN yang tamak dan amanah yang dikhianati akan menatijahkan kemusnahan kelak. Foto Canva
PEMIMPIN yang tamak dan amanah yang dikhianati akan menatijahkan kemusnahan kelak. Foto Canva

Kemp menulis dengan getir bahawa dunia moden semakin kehilangan arah. Kita mencipta mesin yang mampu berfikir, tetapi kehilangan keupayaan untuk merasa. Kita menakluk ruang angkasa, tetapi gagal menakluk nafsu sendiri.

Gema wahyu dan sunnah

Anehnya, apa yang ditemui oleh sains dan sejarah sudah pun digema oleh wahyu beribu tahun lalu.

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila amanah disia-siakan, maka tunggulah saat kehancuran.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Ironinya, inilah inti keruntuhan sebenar yang bukan runtuhnya bangunan, tetapi runtuhnya amanah dan jiwa manusia.

Apabila kepimpinan diserahkan kepada yang tidak layak, apabila lidah-lidah dusta memutar kebenaran, dunia tidak perlu musuh dari luar, ia akan musnah dari dalam.

Dalam hadis lain, Baginda SAW mengingatkan: “Akan datang kepada manusia tahun-tahun penuh tipu daya; orang jujur didustakan dan orang khianat dipercayai.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Tidakkah itu sedang berlaku di hadapan mata kita? Ketika kebenaran dianggap ancaman dan kejujuran menjadi bahan ketawa?

Kuasa yang digilirkan

Firman ALLAH SWT: “Dan demikianlah hari-hari (kemenangan dan kekalahan) itu Kami gilirkan di antara manusia.” (Surah Ali Imran: 140)

Ayat ini menegaskan bahawa kuasa tidak kekal, ia hanya pinjaman untuk diuji. Sejarah membuktikan bahawa setiap empayar yang mencapai puncak, akhirnya rebah oleh kerakusan sendiri.

Sarjana tempatan, Ayman Rashdan Wong, dalam bukunya Adikuasa, menulis bahawa tamadun Islam dahulu tidak dibangunkan di atas kemewahan, tetapi di atas ilmu, keadilan dan akhlak.

Ketika Barat masih terperangkap dalam Zaman Gelap, Islam menyalakan obor ilmu yang menerangi dunia.

Namun apabila cahaya itu pudar dan diganti oleh hawa nafsu serta cinta dunia, maka kuasa berpindah tangan. Sejarah tidak pernah kejam tetapi ia hanya jujur dan ia menulis apa yang manusia ulang.

Dunia yang hilang jiwa

Kini, dunia moden sedang mengulangi kesilapan yang sama dengan hanya dengan wajah yang lebih bergaya dan nama yang lebih canggih.

Kita menyembah algoritma, mempercayai propaganda dan menilai manusia berdasarkan harta, bukan maruah.

KEKAYAAN dunia kini dikuasai oleh kurang daripada 1 peratus populasi, sedangkan jutaan orang tidur dalam lapar. Foto Canva
KEKAYAAN dunia kini dikuasai oleh kurang daripada 1 peratus populasi, sedangkan jutaan orang tidur dalam lapar. Foto Canva

Teknologi yang sepatutnya membebaskan manusia kini memperhambakannya dalam bentuk baharu iaitu perhambaan digital.

Kita hidup dalam dunia yang kononnya pintar tetapi hati manusia semakin bodoh terhadap kasih sayang.

Kita bercakap tentang pembangunan lestari tetapi merosakkan bumi tanpa henti. Kita melaungkan kebebasan tetapi menjadi tawanan kepada kehendak sendiri.

Hakikat jalan pulang yang abadi

Namun sejarah tidak ditulis untuk menakutkan, tetapi untuk menyedarkan. Kemp percaya bahawa kejatuhan masih boleh dielakkan jika manusia berani menilai semula makna kemajuan.

Tamadun yang bertahan bukan yang paling kaya atau paling kuat, tetapi yang paling jujur kepada nilai dan mampu menyesuaikan diri dengan kebenaran.

Kita perlu kembali kepada asas iaitu:

1 - Keadilan, bukan kerakusan.

2 - Ilmu, bukan ilusi.

3 - Amanah, bukan kuasa tanpa moral.

4 - Kasih sayang, bukan kebencian berselindung di balik kemodenan.

Kekuatan sebenar tamadun bukan pada temboknya, tetapi pada hati manusia yang jujur dan berakhlak.

Hakikatnya, betapa benarnya hukum sejarah dan amaran wahyu. Tamadun besar dahulu rebah bukan kerana lemah, tetapi kerana lupa.

Dunia moden kini berdiri di tepi jurang yang sama di antara kesedaran dan kehancuran. Kita masih belum terlambat untuk berpatah balik.

Selagi manusia sanggup menundukkan nafsu di bawah akal dan akal di bawah wahyu maka dunia masih punya harapan kerana jika kejatuhan bermula daripada tangan manusia, maka kebangkitan juga boleh dimulakan oleh tangan yang sama dengan syarat ia kembali bersujud kepada Tuhan.

***Penulis, PROFESOR MADYA DR ZAIZUL AB RAHMAN merupakan Pensyarah Kanan Pusat Kajian Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia

Ringkasan AI

  • - ADA sesuatu yang sedang retak dalam dunia kita, ia bukanlah di kerak bumi tetapi di dasar hati manusia
  • - Saintis Universiti Cambridge, Dr. Luke Kemp, memberi amaran bahawa dunia sedang menuju ke arah kehancuran
  • - Kemp mengunakan istilah "Sindrom Goliath" untuk menggambarkan tamadun yang megah di luar tetapi rapuh di dalam
  • - Dunia moden sedang mengulangi kesilapan masa lalu dengan sembah algoritma dan hilang jiwa keinsanan
  • - Kita masih punya harapan untuk mengelak kehancuran dengan kembali kepada nilai asas seperti keadilan, ilmu, amanah, dan kasih sayang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!