Palestin hargai usaha damai Trump, sahkan kesediaan bekerjasama dengan AS akhiri perang Gaza

ISTANBUL - Palestin mengalu-alukan usaha Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk menamatkan perang yang sedang berlaku di Gaza, sambil menegaskan komitmen untuk bekerjasama dengan Washington dan pihak berkaitan bagi mencapai keamanan, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik media tempatan.
Pada Isnin, Trump mengumumkan pelan 20 perkara bagi menamatkan perang Israel ke atas Semenanjung Gaza semasa sidang media bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Pelan itu merangkumi pembebasan tawanan Israel dengan pertukaran sejumlah tahanan Palestin, pelucutan senjata sepenuhnya Hamas, serta pembentukan jawatankuasa teknokrat Palestin dan tidak berunsur politik untuk mentadbir Gaza.
"Negara Palestin menyambut baik usaha ikhlas dan bersungguh-sungguh Presiden Donald J. Trump untuk menamatkan perang di Gaza dan mengesahkan keyakinannya terhadap kemampuan beliau mencari jalan ke arah perdamaian,” menurut kenyataan pejabat presiden yang dipetik agensi berita rasmi WAFA.
Kenyataan itu menekankan kepentingan kerjasama dengan Washington dalam mencapai keamanan serantau, serta memperbaharui "komitmen bersama untuk bekerjasama dengan Amerika Syarikat, negara-negara serantau dan rakan kongsi bagi menamatkan perang di Gaza melalui perjanjian komprehensif.”
Menurut kenyataan itu lagi, perjanjian komprehensif diperlukan bagi memastikan penghantaran bantuan kemanusiaan mencukupi ke Gaza, pembebasan tawanan Israel dan tahanan Palestin, penubuhan mekanisme untuk melindungi rakyat Palestin, serta pengunduran penuh Israel dari Semenanjung Gaza.
"Langkah ini juga akan memastikan penyatuan tanah dan institusi Palestin di Semenanjung Gaza serta Tebing Barat, termasuk Baitulmuqaddis Timur, menamatkan pendudukan dan membuka laluan ke arah perdamaian adil berasaskan penyelesaian dua negara, dengan Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat hidup berdampingan dengan Israel dalam suasana selamat, aman dan kejiranan baik, selaras dengan keabsahan antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
Tentera Israel dilaporkan membunuh lebih 66,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak di Gaza sejak Oktober 2023.
Serangan berterusan itu menjadikan wilayah itu tidak lagi layak didiami serta mencetuskan kebuluran. - Bernama
Ringkasan AI
- Palestin mengalu-alukan usaha Donald Trump untuk menamatkan perang di Gaza
- Trump umum pelan 20 perkara termasuk pembebasan tawanan dan pelucutan senjata Hamas
- Pelan itu juga merangkumi pembentukan jawatankuasa teknokrat Palestin untuk mengurus Gaza
- Palestin percaya pada kemampuan Trump mencapai keamanan serantau melalui kerjasama
- Perjanjian komprehensif diperlukan untuk bantuan kemanusiaan dan penyatuan tanah Palestin
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
