Ibu Zayn Rayyan kekal dipenjara hingga rayuan selesai

Ismanira dibawa ke Mahkamah Tinggi pada Selasa.
Ismanira dibawa ke Mahkamah Tinggi pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Harapan ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin untuk pulang ke pangkuan keluarga tidak kesampaian apabila Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa menolak permohonannya, untuk menangguhkan hukuman penjara selama lima tahun kerana mengabai kanak-kanak autisme itu, dua tahun lalu.

Hakim, Datuk Aslam Zainuddin tidak menerima rayuan Ismanira Abdul Manaf, 30, selaku perayu supaya dilepaskan sementara sehingga rayuan terhadap sabitan dan hukuman kes berkenaan didengar.

"Setelah meneliti afidavit pemohon dan responden, juga hujahan bertulis kedua-dua pihak termasuk mendengar hujahan lisan, mahkamah membuat keputusan bahawa permohonan untuk penangguhan hukuman, ditolak.

"Mahkamah mendapati tiada keadaan khas atau istimewa untuk membenarkannya,” kata hakim.

Mendengar keputusan itu, Ismanira yang memakai pelitup muka menundukkan kepala malah suami, Zaim Ikhwan Zahari dan keluarganya kelihatan kecewa.

Pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izham Ali dan Ahmad Iqbal Azman sementara perayu diwakili peguam-peguam, Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.

Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam, keesokannya.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, jam 10 malam.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring, dengan jarak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Pada 31 Oktober, Hakim, Dr Syahliza Warnoh mendapati ibu kepada dua anak itu bersalah dan dihukum penjara selama lima tahun.

Beliau memerintahkan wanita itu ke Penjara Wanita Kajang serta-merta selepas menolak permohonan untuk menangguhkan hukuman tersebut sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Katanya, tertuduh gagal menunjukkan faktor keistimewaan yang membolehkannya untuk menangguhkan hukuman sementara rayuan di Mahkamah Tinggi.

Ringkasan AI

  • Harapan ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin untuk pulang ke pangkuan keluarga tidak kesampaian apabila Mahkamah Tinggi di Shah Alam menolak permohonannya untuk menangguhkan hukuman penjara selama lima tahun kerana mengabaikan anak autismenya
  • Ismanira Abdul Manaf, 30, tidak diterima rayuannya oleh Hakim Datuk Aslam Zainuddin untuk dilepaskan sementara sehingga rayuan terhadap sabitan dan hukuman didengar
  • Ismanira didakwa mengabaikan Zayn Rayyan, 6, yang menyebabkan kecederaan fizikal menurut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001
  • Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, pada 6 Disember 2023
  • Ibu kepada dua anak itu, Ismanira, dihukum penjara selama lima tahun oleh Hakim Dr Syahliza Warnoh pada 31 Oktober dan diarahkan ke Penjara Wanita Kajang selepas gagal menunjukkan faktor keistimewaan untuk menangguhkan hukuman sementara rayuan di Mahkamah Tinggi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!