Puisi main peranan bentuk akhlak, sahsiah diri - Awang Sariyan

Program Malam Sanjungan Puisi Kembara Bahasa anjuran Pemuis dengan kerjasama IICM di Dewan Besar IICM pada 28 November lalu.
Program Malam Sanjungan Puisi Kembara Bahasa anjuran Pemuis dengan kerjasama IICM di Dewan Besar IICM pada 28 November lalu.
A
A
A

GOMBAK - Sambutan Hari Puisi Nasional yang dianjurkan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) serta pelancaran Hari Puisi Malaysia pada 13 Jun 2021 wajar dijadikan asas oleh para pemuisi untuk bermuhasabah dan menilai kekuatan, kerelevanan serta keberkesanan puisi dalam konteks pembinaan insan dan negara.

Pemuisi Sepanjang Hayat, Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr Awang Sariyan berkata, penghasilan puisi di pihak penulis dan penghayatan khalayak perlu diangkat sebagai satu upaya ‘pemanusiaan’ manusia.

Menurut beliau, puisi dan karya sastera mempunyai peranan besar dalam membentuk makna diri, akhlak serta sahsiah secara halus dan berkesan, selari dengan fitrah manusia yang memerlukan pendekatan lembut dalam penyampaian nilai.

“Golongan yang kehilangan nilai kemanusiaan ini sanggup mengetepikan kebenaran, keadilan, memecah amanah, menjual agama, bangsa dan negara, malah memfitnah, mengadu domba serta memarakkan perseteruan.

"Ada yang lebih berani mencabar kebenaran wujudnya tuhan, sementara yang mengakui wujudnya tuhan pula ada yang bertuhankan unsur selain ALLAH Yang Esa.

"Mungkin bukan dalam bentuk objek sembahan, tetapi dalam bentuk makhluk lain seperti penguasa, ketua, orang yang dicintai, harta benda, kedudukan, ideologi, teori dan pelbagai yang lain lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Malam Sanjungan Puisi Kembara Bahasa anjuran Persatuan Penulis Budiman Malaysia (PEMUISI) dengan kerjasama Kolej Islam Antarabangsa Malaysia (IICM) di Dewan Besar IICM.

Awang yang juga Ahli Dewan Negara dan Penasihat Utama PEMUISI memberitahu, puisi dan karya sastera lain ada peranannya yang penting dalam proses “pemanusiaan” manusia.

Jelas beliau, misalnya sastera seyogia dijadikan wasilah pembentuk makna diri, akhlak dan sahsiah dalam bentuk yang halus dan berkesan, sesuai dengan tabii manusia yang memerlukan kelembutan cara penyampaian.

Artikel Berkaitan:

"Dalam pada pentingnya sastera dihubungkan dengan pembinaan insan dan 'pemanusiaan' manusia, tidak pula harus disalahfahami bahawa estetika kurang penting semata-mata untuk mencapai hajat menjaga etika atau untuk menyampaikan perutusan yang luhur.

"Imbangan antara isi dengan wadah masih tetap perlu dipelihara kerana yang dikatakan 'susastera' itu merujuk kepada makna 'keindahan'.

"Sarung karya sastera turut meliputi aspek keindahan bahasa. Namun perlu saya rujukkan hakikat keindahan itu dengan yang dikatakan oleh sarjana sastera Umar Junus sebagai keindahan yang fungsional, bukan sekadar bersifat hiasan," ujarnya.

 

Ringkasan AI

  • Sambutan Hari Puisi Nasional di Gombak merupakan platform untuk pemuisi menilai keberkesanan puisi dalam pembinaan insan dan negara
  • Pemuisi Sepanjang Hayat, Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr Awang Sariyan menekankan peranan puisi dalam pemanusiaan dan pembentukan akhlak
  • Beliau menyatakan kehilangan nilai kemanusiaan boleh menyebabkan mengetepikan kebenaran dan keadilan
  • Puisi dan karya sastera mempunyai peranan penting dalam proses pemanusiaan secara halus dan berkesan
  • Awang Sariyan juga menekankan pentingnya menjaga imbangan antara isi dan wadah dalam karya sastera, menekankan keindahan yang fungsional

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!